CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 12733|Reply: 5

Lalat / Pijat / Kutu etc

[Copy link]
Post time 22-7-2009 09:10 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 4-9-2009 10:23

Spesies Baru Lalat Ditemui Di Kampus USM


PULAU PINANG, 22 Julai (Bernama) -- Saintis Universiti Sains Malaysia (USM) akan membuat kajian bagaimana satu spesies barulalat, dikenali sebagai "Misotermes mindeni", yang ditemui di kampus disini, boleh digunakan bagi menangani masalah pembiakan anai-anai pada masa akan datang.

Prof Lee Chow Yang, penyelidik di Makmal Entomologi Bandar, UnitPenyelidikan Kawalan Vektor, Sekolah Sains Biologi, USM berkata kajianitu akan dijalankan selepas seorang pelajar peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Neoh Kok Boon menemui sejenis lalat yang menjadi parasit pada anai-anai pada tahun lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini Rabu, beliau berkata Neoh menjumpa ilalat berkenaan semasa dia membuat kajian tentang struktur populasi anai-anai di kawasan "Macrotermes gilvus" di Kampus Minden.

"Pada mulanya Neoh menjumpai askar anai-anai berbentuk pelik, yang berbeza daripada anai-anai biasa kerana mempunyai kepala yang besar dan rahang bawah yang kecil, lalu membawanya ke makmal untuk dibuat pemerhatian.

"Dia terperanjat apabila melihat pergerakan pelik di bahagian abdomen anai-anai ini dan selepas beberapa hari, askar-askar itu mati dan lalat kecil muncul dari tubuh mereka," katanya.

Lee berkata lalat itu kemudian dihantar kepada Dr Henry Disney, seorang pakar lalat yang diiktiraf dunia di Cambridge University dan beliau mengesahkan bahawa spesies lalat itu adalah sesuatu yang baru dalam bidang sains.

Katanya penemuan itu disiarkan dalam isu terbaru "Sociobiology" dan lalat berkenaan diberi nama "Misotermes mindeni" bagi mengambil sempena nama tempat ia dijumpai.

Lee bagaimanapun berkata pada peringkat ini beliau tidak dapat mengesahkan sama ada lalat itu boleh digunakan bagi mengawal pembiakan anai-anai kerana penyelidikan lanjut perlu dibuat mengenainya.

Kata penyelidik itu, rakyat Malaysia membelanjakan RM50 juta setahun bagi menangani serangan anai-anai, manakala kos bagi membaiki kerosakan akibat serangan serangga berkenaan dianggarkan tiga atau empat kali lebih tinggi daripada jumlah itu.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-8-2009 10:16 AM | Show all posts
Lalat baru pembunuh anai-anai

Oleh FAIROL REDZA ISMAEL ALABAS
[email protected]


Neoh Kok Boon, menunjukkan lalat pemangsa anai-anai yang ditemui di USM. - UTUSAN/Zhafaran Nasib

PULAU PINANG 6 Ogos - Setiap tahun lebih RM50 juta dibelanjakan di negara ini untuk membasmi anai-anai yang menjadi musuh utama industri pembinaan.

Malah kos memperbaiki kerosakan yang ditimbulkan makhluk perosak itu dianggarkan tiga atau empat kali lebih besar daripada kos pemusnahannya.

Namun begitu, penemuan terbaru seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat mengatasi masalah tersebut yang dikatakan boleh memusnahkan koloni anai-anai.

Sejenis spesies lalat parasit yang dinamakan Misotermes Mindeni ditemui di kampus USM di sini yang boleh menjadi musuh utama anai-anai atau nama saintifiknya, Macrotermes Gilvus.

Menurut penuntut dari Makmal Entomologi Bandar, Unit Kajian Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Biologi USM, Neoh Kok Boon, lalat itu ditemui secara tidak sengaja ketika melakukan kajian mengenai serangga itu di kampus USM.

"Saya menemui anai-anai askar yang agak ganjil daripada biasa yang mana kepalanya agak besar namun memiliki badan kecil.

"Anai-anai itu memang pelik. Saya dapati ada pergerakan di bahagian perutnya dan selepas beberapa hari ia mati serta hasil pemeriksaan mendapati terdapat lalat di dalam badan anai-anai itu'' katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Tambahnya, lalat itu disahkan sebagai spesies baru dalam bidang sains oleh Dr. Henry Disney, seorang pengkaji lalat di Universiti Cambridge.

Kata Kok Boon, beliau dan penyelianya, Profesor Lee Chow Yang mengandaikan lalat itu memindahkan larvanya ke dalam anai-anai, namun cara serangan itu masih dikaji.

"Larva itu dikatakan membesar di dalam kepala anai-anai sebelum pindah ke bahagian abdomen dan akhirnya memecahkan dinding abdomen anai-anai itu.

"Cairan di badan anai-anai itu akan keluar dan keadaan kering ini membolehkan larva lalat itu terus membiak selepas anai- anai itu terbunuh,'' jelasnya.

Sementara itu, Chow Yang berkata, pihaknya masih mengkaji sama ada lalat ini mampu memainkan peranan besar dalam pemusnahan anai-anai.

"Kami akan meneruskan kajian tentang kegunaan spesies lalat ini dan berharap ia dapat memberi manfaat kepada semua,'' katanya.

Menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan anugerah yang wajar diberikan kepada pelajar dan saintis membuat penemuan seperti itu, Chow Yang berkata, anugerah bukanlah perkara utama bagi seorang saintis tulen.

"Kepuasan sebenar ialah apabila dapat menemui sesuatu yang baru yang menjadikan hati dan sanubari kita teruja dengan sendirinya apatah lagi apabila melihat hasil penemuan itu diterbitkan di dalam sesuatu jurnal antarabangsa.

"Ini menjadi petanda ikhlas yang dirasai oleh seseorang saintis itu,'' ujarnya.

Tambah beliau, jika ada anugerah diberikan, maka itu dianggap sebagai bonus yang tidak pernah diharapkan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 10-8-2009 05:03 PM | Show all posts
Spesies lalat pembunuh anai-anai ditemui

Sejenis spesies lalat parasit dikenali sebagai Misotermes Mindeni yang ditemui secara tidak sengaja di kampus USM Pulau Pinang dilihat boleh menjadi musuh utama anai-anai dari spesies Macrotermes Gilvus.

SETIAP tahun di Malaysia, kira-kira RM50 juta terpaksa dibelanjakan untuk membasmi anai-anai yang menjadi musuh utama industri pembinaan.

Sedangkan kos memperbaiki kerosakan akibat serangan makhluk perosak itu, dianggarkan tiga atau empat kali lebih besar daripada kos menghapuskannya.

Namun, penemuan terbaru seorang penuntut Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) diharap dapat mengatasi masalah itu, sekali gus boleh memusnahkan koloni anai-anai.

Sejenis spesies lalat parasit yang dinamakan Misotermes Mindeni ditemui di kampus USM Pulau Pinang. Ia dilihat boleh menjadi musuh utama anai-anai spesies Macrotermes Gilvus.


LALAT parasit ini membunuh anai-anai dengan cara
memindahkan larva ke dalam tubuh mangsanya.

Menurut penuntut dari Makmal Entomologi Bandar, Unit Kajian Kawalan Vektor, Pusat Pengajian Sains Biologi USM, Neoh Kok Boon, lalat itu ditemui secara tidak sengaja ketika dia melakukan kajian mengenai anai-anai di kampus USM.

"Saya menemui anai-anai askar yang agak ganjil daripada biasa. Kepalanya agak besar dan memiliki badan yang kecil. Selain pelik dengan anai-anai itu, saya juga mendapati ada pergerakan di bahagian perutnya.

"Selepas beberapa hari, ia mati. Hasil pemeriksaan mendapati ada lalat di dalam badan anai-anai itu," katanya pada sidang media di USM baru-baru ini.

Dr. Henry Disney, seorang pengkaji lalat dari Universiti Cambridge mengesahkan lalat itu sebagai satu spesies baru dalam bidang sains.


KEADAAN seekor anai-anai yang telah 'diserang' oleh lalat parasit.

Jelas Kok Boon lagi, dia dan penyelianya, Profesor Lee Chow Yang mengandaikan lalat itu memindahkan larvanya ke dalam anai-anai. Namun, cara serangan itu masih dikaji.

"Larva itu akan membesar di dalam kepala anai-anai sebelum berpindah ke bahagian abdomen. Akhirnya ia memecahkan dinding abdomen anai-anai.

"Cairan di badan anai-anai itu akan keluar. Kemudian, proses mengering akan membolehkan larva lalat terus membiak selepas anai-anai itu terbunuh," ujarnya.

Chow Yang mengakui pihaknya masih mengkaji sama ada lalat ini mampu memainkan peranan besar dalam usaha memusnahkan anai-anai.

"Kami akan meneruskan kajian tentang kegunaan spesies lalat ini. Harap-harap, ia dapat memberi manfaat kepada semua," katanya.
Reply

Use magic Report

Post time 14-8-2009 09:01 PM | Show all posts
Jangan species ni nanti jadik dominan dan jadik pest yang tak terkawal sudah

Way to go Prof Lee
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 4-9-2009 10:24 AM | Show all posts
Air liur pijat jadi penawar kanser?



PARA penyelidik di Brazil mendapati air liur parasit penghisap darah, pijat mempunyai potensi besar untuk menjadi penawar kanser kulit, hati dan pankreas. Sejenis protein dalam air liur pijat yang ditemui di Amerika Selatan, Amblyomman cajennense didapati mampu mengurangkan dan menghapuskan sel-sel kanser dan membiarkan sel-sel yang sihat terus hidup.

"Ini satu inovasi yang radikal. Komponen dalam air liur pijat ini mungkin boleh menjadi penawar kanser," kata ketua kajian dan pakar biologi molekular, Ana Marisa Chudzinski-Tavassi dari Institut Butantan, Sao Paulo.

Protein yang dinamakan sebagai Faktor X aktif itu ditemui sewaktu ujian ciri-ciri antikelikatan air liur pijat dijalankan. Ciri-ciri itulah yang menghalang penebalan dan pembekuan darah supaya pijat boleh terus menghisap darah mangsa.

Memiliki ciri-ciri yang menyamai antikelikatan lain, TFPI (Tissue Factor Pathway Inhibitor), para penyelidik juga terkejut mendapati protein Faktor X itu tidak membunuh sel-sel normal. Sebaliknya, ia hanya membunuh sel-sel tumor yang dianalisis. - AFP
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2009 11:08 AM | Show all posts
Ulat lalat - perubatan alternatif

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
[email protected]


KAEDAH menggunakan rawatan ulat daripada lalat bermula sejak Perang Dunia Pertama.

SEKARANG saya boleh buat kerja lasak dan berjalan. Mungkin terapi ini membantu saya,” ujar seorang pesakit diabetes, Farawahida Mohamad Yusof, 44.

Bagi sebahagian masyarakat ulat adalah sesuatu yang menggelikan.

Namun, terapi ulat atau Maggot Debridement Therapy (MDT) ini perlu dikongsi sebagai sumber maklumat pesakit-pesakit kencing manis yang mempunyai luka-luka yang sukar sembuh di luar sana.

Terdapat empat asas terapi ulat ini, ia membersihkan luka, membasmi kuman, merangsang penyembuhan luka, merosak dan menghalang pembuatan biofilem.

Seperti kes Farawahida, dia mengalami luka yang teruk sebelum melakukan rawatan ulat.

Lukanya berair dan lembap. Farawahida sukar bergerak dan selepas pembedahan, dia banyak bergerak menggunakan kerusi roda.

Berbekalkan sedikit duit, dia mencuba nasib dengan melakukan rawatan ulat di sebuah klinik swasta di Jalan Tenggiri, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.

Selepas mencuba rawatan untuk pertama kali, lukanya semakin kering.

“Selepas dua hari, anak saya pimpin ke klinik. Banyak ulat keluar. Pada awal rawatan, saya berasa geli juga. Seolah-olah ada benda bergerak. Tetapi melihat hasilnya, saya yakinulat ini boleh menyembuhkan luka selain menggunakan rawatan lain seperti ubat dan sebagainya,” jelas ibu kepada empat orang anak ini.

Menurut Ketua Unit Entomologi Perubatan Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr. Lee Han Lim, penggunaan ‘ulat lalat’ di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

“Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh IMR. Spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia sericata. Kedua-dua spesies ini telah dikenal pasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ia dikenali sebagai Lucilia cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka”, ujar beliau.

Tambah Dr. Han Lim, penyelidikan ini telah menerima peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi pada tahun 2002. Pada mulanya kami mengenal pasti jenis lalat yang sesuai yang boleh diguna untuk terapi ini.

“Bukan semua jenis lalat boleh digunakan. Spesies lalat yang hanya akan memakan tisu yang nekrotik (reput) boleh diguna. Ada sesetengah spesies yang memakan tisu hidup. Apabila tisu hidup diserang fenomena ini dinamakan sebagai myiasis. Spesies seperti ini tidak sekali boleh diguna untuk rawatan ini.

Selepas kita sudah kenal pasti lalat, kemudian kita kena biarkan lalat itu membiak dalam makmal dengan menggunakan bahan yang sesuai untuk dapatkan pembiakan yang optimum. Ini juga merupakan salah satu aspek penyelidikan kerana bermacam-macam bahan telah diguna untuk mendapat hasil yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik IMR, Dr. Nazni Wasi Ahmad, berkata, spesies lalat yang digunakan di Malaysia ialah spesies Lucilia cuprina manakala di barat ialah Lucilia sericata.

“Spesies lalat ini boleh hidup di negara beriklim sederhana sahaja. Teknik mensterilkan larva yang merupakan teknik yang penting adalah berbeza dari luar negara. Objektifnya adalah sama iaitu membasmikan kuman-kuman yang ada pada ulat lalat. yang membezakan kuman-kuman di ulat dan juga kaedah mengklon lalat,” katanya. Ulat lalat yang digunakan terhadap pesakit mesti melalui proses pensterilan iaitu tidak ada kuman pada ulat lalat ini

Dr. Nazni menambah, terapi ini telah diamal di Malaysia sejak tahun 2003 apabila mendapat peruntukan daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

Tambah beliau, pada Mei 2003, percubaan klinikal yang pertama dijalankan di Hospital Tentera di Lumut.

“Terapi ini baru bermula di Malaysia kerana kita perlu mengkaji banyak isu-isu pengunaan terapi ini sebelum boleh digunakan kepada pesakit. Kelulusan etika perubatan adalah sangat penting sebelum ia dilaksana kepada pesakit,” katanya.

Dr. Nazni menambah, proses mendapatkan larva yang steril mengambil masa dua hari. Penyakit-penyakit yang boleh menggunakan terapi ulat ialah ulser yang disebabkan kencing manis (diabetes), bedsore ulcer, pressure wound dan ulser disebabkan kanser.

“Disebabkan ulat (daripada lalat) telah disteril, ia selamat diguna. Mekanisme tindak balas ulat terhadap tisu yang dicadang ialah ulat merembes sejenis enzim proteolitik yang mencairkan tisu-tisu nekrotik, faktor ulat menginges (memakan) tisu-tisu reput dan kehadiran ulat pada luka mempengaruhi pembasmian bakteria daripada luka-luka.

Selain itu, rembesan cecair daripada ulat menukar pH luka, bakteria yang dimakan oleh ulat biasanya dimusnahkan dalam saluran perut, rembesan cecair daripada ulat mempengaruhi penyembuhan luka sembuh dengan pantas dan tindak balas pergerakan ulat di atas luka menyebabkan stimulasi pembentukan tisu baru,” katanya.

Dr. Nazni memberitahu, ulat ini bebas daripada kuman. Penggunaan terapi ulat telah menunjukkan bahawa ulat lalat boleh membersihkan luka daripada bakteria jenis Gram- positif dan Gram- negatif, bakteria jenis aerobik dan anaerobik.

“Ulat lalat biasanya dengan pantas dapat membersihkan tisu-tisu nekrotik dan membolehkan terbentuknya tisu baru yang sihat. Malahan faktor yang paling utama ialah ulat dapat digunakan dengan mudah ke atas tisu-tisu yang parah” ujarnya.

Ditanya adakah rawatan ini menggelikan pesakit, Dr. Nazni menjelaskan, setakat ini pesakit memang setuju dan tiada reaksi sebaliknya dengan penggunaan terapi ulat.

“ Lebih-lebih lagi mereka inginkan terapi ini daripada kaki mereka dipotong. Kita harus menyedari bahawa kos bagi insan yang kehilangan sebahagian anggota badan mereka tidak mungkin dapat dinilai. Ini adalah kos sosial misalnya, insan-insan yang tidak mempunyai kaki akan menjadi beban kepada keluarga dan negara. Ini secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi negara,” jelasnya.

Merawat luka kronik

Dalam pada itu, Pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy berkata, syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Mohd Ashraf memberitahu, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

Kesukaran pesakit diabetik sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku,” katanya.

Ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Namun, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami pesakit.

“Kalau luka di peringkat awal, ada tisu mati, kita letak ulat (larva) ini selama 48 jam, iaitu hanya sekali penggunaan. Maksudnya jika kita letak ulat itu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu,” jelasnya.

Mohd Ashraf menjelaskan, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis. Ia juga penawar untuk luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com.
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-12-2024 09:25 AM GMT+8 , Processed in 0.053482 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list