New Delhi: Sekurang-kurangnya tujuh lelaki ditahan di barat India selepas seorang gadis berusia 16 tahun mendakwa dia dirogol beratus kali oleh ratusan lelaki.
Dalam satu kenyataan kepada Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak India (CWC) pada 11 November, gadis itu yang kehilangan tempat tinggal berkata, dia dirogol oleh 400 orang di daerah Beed di negeri Maharashtra.
Pengerusi CWC Abhay Vitthalrao Vanave berkata, wanita itu menamakan dua anggota polis dalam aduannya, lapor CNN.
Ia menjadi kes ngeri terbaharu dan menonjolkan masalah keganasan seksual berleluasa di negara itu.
Gadis itu meminta wang di perhentian bas apabila dia didakwa dipaksa melakukan seks oleh tiga lelaki.
Walaupun bilangan perogol yang didakwa sukar untuk dibuktikan, gadis itu boleh mengenal pasti sekurang-kurangnya 25 orang yang didakwa melakukan jenayah berkenaan.
Dia cuba memfailkan aduan polis terhadap seorang lelaki yang didakwa memukulnya, tetapi pegawai tidak mendaftarkannya.
Ketika dihubungi CNN Isnin, polis Beed tidak mengulas mengenai dakwaan gadis itu terhadap mereka.
Dalam satu kenyataan Isnin, pihak berkuasa itu berkata mendaftarkan kes terhadap lapan lelaki termasuk seorang individu bawah umur berkaitan rogol dan undang-undang Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual yang mempunyai hukuman penjara yang lebih berat.
Selain itu, pihak itu juga mendaftarkan kes mengikut Akta Larangan Perkahwinan Kanak-Kanak.
Gadis itu memberitahu polis, dia berkahwin pada usia 13 tahun dengan seorang lelaki berusia 33 tahun yang menderanya secara seksual.
Katanya, diserang secara seksual oleh bapanya menyebabkan dia meninggalkan rumah dan tidur di perhentian bas.
Aktivis hak wanita Yogita Bhayana berkata, ini adalah kes rogol paling tragis dalam sejarah.
"Gadis ini diseksa setiap hari. Kami mahu tindakan tegas terhadap semua yang bersalah," katanya sambil menambah polis gagal melindunginya.
Disiarkan pada: November 18, 2021 @ 6:10am