‘Braces’ Dah Pasang Cantik Pada Gigi, Haruslah Amalkan Penjagaan Ini
Ramai yang sudah tahu berkenaan pemakaian pendakap gigi atau ‘Braces‘ tetapi tidak ramai yang mengetahui tips selepas memakai pendakap gigi.
Ramai juga yang ingin memakainya untuk mencantikkan gigi tetapi tidak cakna tentang penjagaan selepas memakainya.
Jadi, jom kita lihat tips untuk si pemakai ‘Braces’ agar gigi lebih terjaga.
1. Berus Gigi Selepas Makan
Setiap kali makan, anda perlu memberus gigi untuk membersihkan gigi daripada makanan-makanan yang tersisa. Anda tidak boleh berfikiran bahawa hanya pada waktu pagi dan malam sahaja anda perlu memberus gigi.
Sebaliknya anda perlu kerap memberus gigi apabil mengunyah atau makan sesuatu. Walaupun makan jajan, anda tetap harus memberus gigi.
2. Penggunaan Berus Gigi Yang Lembut
Berus gigi yang lembut dapat membantu anda memberus gigi dengan selesa dan tidak akan merosakkan pendakap gigi anda. Lihat berus gigi anda terlebih dahulu sebelum membeli dan jangan hanya tertumpu pada warna yang cantik sahaja.
Jika anda menggunakan berus gigi yang keras, anda sudah pasti tidak akan dapat memberus di celah gigi-gigi dan makanan yang tersisa akan tetap berada di situ.
3. Pemilihan Ubat Gigi Yang Betul
Ubat gigi yang mengandungi florida sangat bagus untuk si pemakai ‘braces’. Ia merupakan mineral semula jadi yang mampu menguatkan lapisan luar gigi dan mencegah kerosakan gigi.
Selain itu, ia juga mampu mencegah mulut daripada berbau disebabkan gigi.
4. Pemeriksaan Gigi Dengan Kerap
Anda perlu memastikan pemeriksaan gigi dengan doktor di klinik gigi sentiasa berjadual pada waktu yang sepatutnya. Anda perlu mengosongkan waktu anda untuk temu janji dengan doktor supaya doktor dapat memeriksa gigi anda dengan baik.
Hal ini bertujuan untuk mengelakkan radang gusi daripada berlaku.
5. Elakkan Makanan Manis
Makanan manis perlu dielakkan seperti gula-gula dan bar coklat. Ia adalah kerana ia mampu menimbulkan masalah kepada si pemakai ‘Braces’.
Gigi akan lebih susah untuk dibersihkan sekiranya anda makan manisan tersebut, gigi juga akan cenderung untuk sakit.
Anda pun sudah mengetahui tips ini, jadi anda perlulah mulakan langkah yang lebih tegas dalam menjaga gigi apabila memakai pendakap gigi.