CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 963|Reply: 0

Kongsi rezeki: Tak perlu tunggu jadi kaya

[Copy link]
Post time 16-1-2022 10:35 AM | Show all posts |Read mode
Kongsi rezeki: Tak perlu tunggu jadi kaya


FOTO HIASAN

Fitrah semua benda hidup memerlukan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apatah lagi bagi manusia, makanan itu sangat penting. Makanan dan manusia tidak boleh dipisahkan.

Adakalanya makanan boleh menjadikan seseorang sihat atau sakit jika makanan diambil secara berlebihan dan tidak mempunyai khasiat. Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik perkara adalah pertengahannya (sederhana dalam semua keadaan)." Riwayat al-Baihaqi

Sebenarnya untuk menjadikan konsep makan ini berpahala, kita hendaklah rajin memberi makanan kepada orang lain. Ini kerana konsep ini adalah satu daripada sunah Rasulullah SAW yang amat disukai baginda.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata: "Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Konsep memberi makanan kepada orang lain bukan semestinya dalam bentuk kenduri-kendara atau majlis perkahwinan atau keraian yang berskala besar. Ia memerlukan modal yang besar dan kos yang tinggi. Bukan semua orang mampu melakukannya secara kerap.

Akan tetapi, kita boleh melakukanya dengan sekadar memberi makan kepada ahli keluarga yang lain, jiran tetangga dan rakan sekerja. Ia hanya memerlukan kos yang rendah dan murah. Sekadar membeli beberapa bungkus makanan dan diedarkan kepada sasaran penerima.

Pendek kata, konsep ini juga berkait rapat dengan berkongsi rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturan-Nya)." Surah al-Baqarah, ayat 212

Oleh itu, jangan kita menunggu setelah menjadi orang kaya dan hartawan untuk memberi makan kepada orang lain dan bersedekah serta berkongsi nikmat. Bahkan berkongsilah untuk menjadi seorang yang kaya jiwa dan harta benda.

Bahkan dapat melindungi pelakunya daripada seksaan api neraka. Nabi SAW bersabda: "Api neraka berasa takut walaupun dengan sebiji kurma (yang kamu berikan untuk orang yang lapar)." Riwayat al-Bukhari

Selain itu, konsep ini juga sebahagian daripada amal soleh yang berat timbangannya. Ia juga satu bentuk terapi jiwa dan minda manusia. Apabila kita banyak menyumbangkan makanan kepada orang lain, ia akan menimbulkan ketenangan dalam diri seseorang. Sebagai contoh orang yang sedang sakit, apabila rajin bersedekah dan memberi makanan, itu sebagai satu cara mencari penawar kesakitannya.

Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebutkan terdapat satu hadis Nabi SAW mengenai orang yang akan mendapatkan perlindungan di bawah Arasy Allah SWT. Dia adalah orang yang memberi makanan kepada orang yang lapar. Sabda Nabi SAW, "Sesungguhnya orang terbaik di antara kalian adalah orang yang memberi makan." Riwayat at-Tabrani

Seorang lelaki juga pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Perbuatan apa yang terbaik dalam Islam?" Nabi SAW menjawab, "Kamu memberi makanan kepada orang lain." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Selain itu kelebihan orang yang memberi makan ini dinyatakan oleh Nabi SAW dalam sabdanya, "Sesungguhnya di syurga terdapat sejumlah bilik yang bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalamnya dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya. Lalu seorang Arab Badwi berdiri lalu bertanya, "Ya Rasulullah untuk siapa bilik itu?" Nabi SAW menjawab, "Untuk orang yang memberi makan." Riwayat at-Tirmizi

Bukan hanya diberikan tempat khusus di dalam syurga yang abadi, malahan orang memberi makan juga akan memasuki syurga dari pintu khusus. Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi makan kepada seorang yang beriman hingga membuatnya kenyang daripada rasa lapar maka Allah akan memasukkannya ke dalam salah satu pintu syurga yang tidak dimasuki oleh orang lain." Riwayat at-Tabrani

Di dalam al-Quran disebutkan orang yang memberi makan akan dapat menempuh jalan mendaki yang sukar. Allah SWT bertanya dalam firman-Nya: "Dan tahukah kamu apakah kiranya jalan yang mendaki dan sukar itu?" Surah al-Balad ayat 12

Pertanyaan ini dijawab sendiri oleh Allah SWT: "…Memberi makan pada hari kelaparan." Surah al-Balad ayat 14

Di dalam al-Quran juga Allah SWT memberi amaran kepada orang yang tidak mahu memberi makan kepada orang susah. Mereka dianggap sebagai pendusta agama. Allah SWT bertanya: "Tahukah kamu siapakah orang yang mendustakan agama?" Surah al-Ma'un ayat 1

Allah SWT menjelaskan kemudiannya: "(Orang yang) tidak menggalakkan orang lain memberi makan orang miskin." Surah al-Ma'un ayat 3

Falsafah kesediaan memberi makan kepada orang lain dapat diselami melalui hadis Qudsi iaitu: Nabi SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: "Pada hari ini Aku menahan nikmat-Ku daripadamu sebagaimana kamu menahan kelebihan sesuatu yang sebenarnya bukan hasil usahamu." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ia menjelaskan bahawa manusia diberikan makanan oleh Allah SWT. Ini disebabkan manusia tidak mampu menciptakan makanannya sendiri.

Satu peristiwa, ketika Saidatina Aisyah RA menghidangkan makanan kesukaan Rasulullah iaitu paha kambing. Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Aisyah, apakah sudah engkau berikan kepada Abu Hurairah jiran kita? Aisyah menjawab: "Sudah wahai Rasulullah." Kemudian Rasulullah bertanya lagi: "Bagaimana dengan Ummu Ayman?" Aisyah kembali menjawab: "Sudah wahai Rasulullah." Kemudian Rasulullah bertanya lagi mengenai jiran tetangga yang lain, adakah sudah diberikan masakan itu sehingga Aisyah berasa penat menjawab pertanyaan Rasulullah. Sehingga Saidatina Aisyah menegaskan bahawa semua makanan sudah habis dibahagikan kepada jiran, yang berbaki hanyalah beberapa potong daging untuk dimakan oleh baginda SAW dan Aisyah. Aisyah kemudian menjawab: "Sudah habis aku berikan, wahai Rasulullah. Apa yang tinggal ialah yang ada di depan kita sekarang ini," kata Aisyah. Mendengar jawapannya, Rasulullah SAW lantas tersenyum dan mengatakan sesuatu yang ringkas namun maksudnya mendalam. "Engkau salah Aisyah, yang habis adalah apa yang kita makan ini dan yang kekal adalah apa yang kita sedekahkan." Riwayat at-Tirmizi

Islam tidak membenarkan mengumpul makanan dalam jumlah banyak, apalagi melahapnya secara berlebihan. Bahkan diajarkan untuk berhenti makan sebelum kenyang. Rasulullah SAW bersabda: "Pada hari akhirat kelak manusia akan berkata, Inilah harta bendaku! Padahal tidak ada apa yang diperolehnya di dunia kecuali tiga perkara: Yang ia makan akan keluar dari tubuhnya menjadi kotoran. Yang ia pakai akan menjadi rosak. Yang disedekahkan akan menjadi kebaikan yang kekal baginya." Riwayat Muslim

Semasa hidupnya, Rasulullah SAW tidak pernah makan secara berlebihan walaupun sekali. Pelbagai makanan kegemaran baginda SAW seperti kurma, madu, roti hingga buah anggur selalu dimakannya dalam kadar yang secukupnya dan tidak berlebihan serta tiada pembaziran.

Oleh itu sempena Syaaban dan Ramadan yang bakal menjelang tiba, sewajarnya kita mengambil semangat memberi makan kepada orang lain sebagai tiket kita mendapat keredaan Allah SWT dan seterusnya memperoleh ganjaran syurga-Nya yang sangat hebat.

Penulis Profesor Madya, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... lu-tunggu-jadi-kaya

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 08:24 AM GMT+8 , Processed in 0.056298 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list