JAKARTA – Sebuah pulau ghaib dikenali sebagai Pulau Trembini didakwa wujud di Jawa Timur dan dipercayai hanya didiami oleh kaum wanita, lapor laman berita Solopos semalam.
Meskipun kewujudan pulau itu masih menjadi misteri, namun nelayan tempatan percaya bahawa ia berada di Laut Selatan di antara Kabupaten Jember dan Kabupaten Malang.
Lokasi Trembini terbentuk daripada mendapan sampah namun penduduk percaya ada pulau ghaib yang terbentuk di atasnya.
Menurut kepercayaan masyarakat setempat, Pulau Trembini hanya didiami kaum wanita dan tiada lelaki dibenarkan masuk. Malah sesiapa yang mendarat di pulau itu tidak akan boleh kembali ke dunia sebenar atau kembali sebagai mayat sahaja.
Sekiranya pantang larang itu dilanggar, lelaki itu akan meninggal dunia atau tidak akan kembali ke dunia asalnya.
Sehingga kini, orang-orang tua Jember masih bercerita mengenai Pulau Trembini kepada anak cucu mereka dan memberi amaran agar tidak tersilap mendarat di pulau ghaib tersebut. – Agensi
kosmo.com.my/2022/02/15 |