Edited by Vellfire at 17-2-2022 09:50 AM
SAO PAULO: Angka kematian akibat tanah runtuh dan banjir di bandar Petropolis, Brazil di Rio de Janeiro meningkat kepada 78, termasuk enam kanak-kanak, lapor Xinhua, memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
“Ia merupakan kejadian paling buruk sejak 1932, dengan curahan hujan 240 millimeter dalam tempoh masa lebih dua jam,” gabenor negeri Rio de Janeiro, Claudio Castro memberitahu pemberita selepas melawat kawasan bencana.
Tangkap layar video AFP di kawasan tanah runtuh di Rio de Janeiro.
Hujan lebat pada Selasa melanda kawasan pergunungan, kira-kira 68 kilometer dari utara bandar Rio de Janeiro mencetuskan lebih 50 kejadian tanah runtuh.
Dalam tempoh enam jam, Petropolis menerima lebih banyak curahan hujan daripada jangkaan sepanjang Februari, mendorong pejabat datuk bandar mengeluarkan perintah bencana awam.
Setiausaha Pertahanan Awam bandar, Gil Kempers berkata dalam sidang media bahawa 21 orang berjaya diselamatkan dan jumlah orang hilang masih tidak diketahui. Lori bantuan membawa sumbangan mula tiba di Petropolis untuk kegunaan 500 mangsa.
Sementara itu, amaran cuaca dengan banjir lebih hebat pada Khamis dan Jumaat akan melanda bandar itu, berikutan musim hujan di wilayah tenggara Brazil.- BERNAMA
utusanborneo.com.my/2022/02/17
|