|
ANASTASIIA Lenna. FOTO Agensi
Kyiv: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine menyaksikan pertempuran sengit ketika orang awam menyahut seruan untuk mempertahankan negara mereka.
Wanita di seluruh negara, daripada ahli politik hinggalah ratu cantik, mengangkat senjata untuk mempertahankan Ukraine pada bila-bila masa, lapor India Today.
Ahli Parlimen Ukraine, Kira Rudik berkongsi mengenai kumpulan penentang terhadap serangan Rusia.
Sementara itu, seorang lagi ahli Parlimen negara itu, Lesia Vasylenko menyeru warga asing untuk menyertai Ukraine menentang pencerobohan Rusia ke atas negara itu.
"Kami adalah sebuah negara dalam peperangan. Tidak ada masa untuk seseorang memberi anda latihan dan pelajaran. Semua orang sibuk dengan tugas masing-masing," katanya.
Mereka merujuk kepada kumpulan Antarabangsa Pertahanan Wilayah Ukraine, unit berasingan warga asing yang sedang dibentuk untuk mereka yang ingin menyertai peperangan melawan Rusia.
"Kami membuka unit pertahanan wilayah antarabangsa Ukraine, jika anda ingin membantu melawan pencerobohan ini, anda boleh mendaftar di kedutaan Ukraine di negara anda dan berganding bahu dengan kami dan membantu kami menyingkirkan penceroboh dan mengecapi keamanan di dunia," katanya.
Gambar dan video wanita Ukraine menyertai perjuangan itu dikongsi di media sosial.
Sebelum ini, gambar Kira Rudik memegang pistol menjadi tular.
"Saya belajar menggunakan #Kalashnikov dan bersedia untuk menggalas senjata. Hanya beberapa hari yang lalu ia tidak pernah terlintas di fikiran saya. #Wanita kita akan melindungi tanah kita dengan cara yang sama seperti #lelaki kita," katanya di Twitter.
Katanya, memegang raifal Kalashnikov, memberikannya harapan.
"Saya sangat marah apabila perang bermula. Saya masih sangat marah. Saya masih tidak faham bagaimana negara jiran dan Putin boleh menafikan hak Ukraine untuk wujud dan saya dipaksa untuk tinggalkan bandar dan keluarga dan kami semua diancam hanya kerana diktator gila.
"Saya melindungi keluarga saya dan menganjurkan kumpulan penentang yang memerangi Rusia di jalanan, mereka perlu kembali ke tempat asal mereka kerana kami adalah negara yang merdeka dan akan melindungi kedaulatan kami walau apa pun, kerana saya mahu anak-anak saya tinggal di Ukraine yang saya bina untuk mereka, bukan Vladimir Putin," katanya.
Terbaharu, seorang bekas ratu cantik turut menyertai perjuangan itu untuk melindungi negaranya daripada pencerobohan Rusia.
Anastasiia Lenna, yang mewakili Ukraine dalam pertandingan kecantikan Miss Grand International 2015, meletakkan mahkota dan selempangnya untuk mempertahankan negaranya.
Dia memuat naik beberapa gambar di mana dia dilihat membawa senjata.
|
|