Mohd Fared Mohd Khalid
Iskandar Puteri : Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengekalkan kadar zakat fitrah untuk tahun ini pada RM7 dan RM10.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, penetapan kadar berkenaan berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di negeri ini pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram.
Katanya, kadar pembayaran zakat boleh dibuat menerusi tiga cara, iaitu secara atas talian (digalakkan), menerusi 1,648 amil yang dilantik dan di kaunter zakat MAINJ setiap daerah.
"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor menetapkan kadar zakat fitrah RM 7 dan RM 10. Umat Islam di negeri Johor yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan akan membayar zakat fitrah RM 7.
"Manakala zakat fitrah RM 10 dibayar oleh umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan (Beras Import) seperti beras wangi, beras Basmathi dan lain-lain.
"Unjuran pungutan fitrah bagi tahun ini sebanyak RM18.9 juta dengan anggaran seramai 2.1 pembayar zakat. Jumlah pembayar fitrah setiap tahun adalah hasil daripada kelahiran baru dan juga mereka yang berhijrah ke negeri Johor untuk bekerja dan sebagainya.
"Pengiraan unjuran ini mengambil kira keadaan ekonomi pada waktu kini, iaitu dengan mengambil nisbah 20 peratus adalah pembayar bayar bagi RM7 dan 80 peratus pembayar RM 10," katanya dalam sidang media di Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Menurut Mohd Fared, MAINJ turut menetapkan kadar bantuan hari raya tahun ini dengan peruntukan RM14.19 juta.
Katanya hasil daripada proses bancian yang dilakukan oleh amil, bilangan ketua keluarga fakir adalah seramai 7,429 orang manakala bilangan ketua keluarga miskin seramai 29,258 orang.
"Setiap ketua keluarga fakir akan menerima RM400, manakala ketua keluarga miskin akan menerima RM300.
"Jumlah tanggungan dari keluarga fakir 11,126 orang dan miskin seramai 37,917 orang yang mana setiap seorang tanggungan akan menerima RM50.
"Jumlah keseluruhan ketua keluarga asnaf fakir dan miskin termasuk tanggungan adalah seramai 85,730 orang," katanya.
Disiarkan pada: Mac 28, 2022 @ 1:30pm
|