View: 516|Reply: 0
|
[Johor]
Perairan Pulau Tokong Sanggol berarus kuat, berisiko bagi penyelam biasa
[Copy link]
|
|
Pulau Tokong Sanggol - Foto ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

JOHOR BAHRU: Perairan Pulau Tokong Sanggol di Mersing yang menjadi lokasi empat penyelam dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti latihan selaman pada Rabu lalu, diakui memang berarus kuat biarpun ketika air surut.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Mersing (MTA), Kelana Ali Kahar, berkata kedudukan pulau berkenaan juga agak jauh, namun mempunyai pemandangan dasar laut yang cantik.
Selain itu, beliau memaklumkan, Pulau Tokong Sanggol tidak mempunyai pantai dan hanya terdiri daripada batuan.
"Pulau Tokong Sanggol tidak seperti pulau lain. Pulau itu merupakan batuan timbul dan tiada pantai. Biasanya, ia menjadi lokasi kaki pancing.
"Lazimnya, arus bergantung pada keadaan air pasang atau surut. Namun, perairan Pulau Tokong Sanggol disifatkan sebagai lokasi 'hard-core' yang arusnya sangat kuat jika air pasang, malah jika air surut pun memang sentiasa berarus," katanya ketika dihubungi.
Justeru, Kelana Ali berkata, penyelam baharu lesen 'open water' tidak digalak melakukan aktiviti selaman di kawasan berkenaan.
"Lazimnya, penyelam baharu akan menyelam di Pulau Lima yang mempunyai pantai.
"Bagaimanapun untuk penyelam yang mempunyai lesen 'Advanced' atau 'Rescue Dive Master', mereka boleh mengendalikan keadaan arus kuat di perairan Pulau Tokong Sanggol," katanya yang turut memiliki lesen Dive Master.
Kelana Ali menjelaskan, penggunaan khidmat operator atau penyelam tempatan adalah sangat penting kerana hanya golongan itu yang mengetahui keadaan di Pulau Tokong Sanggol.
"Penyelam tempatan lebih mengetahui bentuk dan situasi di bawah Pulau Tokong Sanggol berbanding orang luar. Ia merupakan lokasi kaki pancing dan untuk penyelam biasa, ada banyak risiko," katanya.
Ditanya berhubung aspek pemandu bot pula, Kelana Ali menyarankan agar setiap pemandu bot pelancong diberi kursus berkaitan selaman.
Beliau juga memaklumkan, menjadi kebiasaan atau rutin pemandu bot yang membawa penyelam, untuk mencatat masa penyelam turun ke dasar laut.
"Mereka perlu tahu berapa lama penyelam menyelam, mengikut 'bubble' (buih terhasil daripada selaman), dan menumpukan perhatian kepada sekeliling dalam tempoh 30 hingga 40 minit di mana penyelam akan timbul atau naik ke permukaan air.
"Pemandu bot memerlukan semua latihan ini untuk membawa penyelam. Adalah perkara biasa sekiranya penyelam tidak timbul di permukaan air di lokasi mereka diturunkan. Selalu terjadi penyelam timbul di permukaan air jauh dari bot. Justeru, pemandu bot perlu menumpukan perhatian.
"Bagi kes empat penyelam dikatakan timbul di permukaan air pada selaman kedua dengan jarak 500 meter dari bot, disifatkan mustahil bagi pemandu bot mendengar jeritan atau tiupan wisel mereka," katanya yang memiliki pusat aktiviti skuba di Pulau Besar, Mersing, sejak lima tahun lalu.
Semalam, penyelam warga Britain, Adrian Peter Chesters, 45, dan warga Perancis, Alexia Alexandria Molina, 18, ditemukan selamat oleh nelayan pada kedudukan 16 batu nautika utara Pulau Bintan di perairan Indonesia, kira-kira jam 1 pagi.
Adrian Peter turut memaklumkan pihak berkuasa bahawa anaknya yang masih hilang, Nathan Renze Chesters, 14, sudah meninggal dunia kerana tidak mampu bertahan akibat terlalu lemah.
Jurulatih selaman dari Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat oleh kapal tunda dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada Khamis lalu di kedudukan lebih 20 batu nautika dari lokasi dilaporkan hilang.
https://www.bharian.com.my/berit ... isiko-bagi-penyelam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|