CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 492|Reply: 0

[Johor] Tambak Johor masih tenang, pagi ini

[Copy link]
Post time 12-4-2022 10:02 AM | Show all posts |Read mode
Edited by tari at 12-4-2022 10:04 AM


ALIRAN trafik tidak sesak, malah pekerja Malaysia yang menunggang motosikal dilihat tidak berdepan kesesakan teruk berbanding keadaan sebelum pandemik ketika tinjauan di sekitar laluan masuk ke Bangunan Sultan Iskandar pada pagi ini. FOTO Nur Aisyah Mazalan



Johor Bahru: Tambak Johor di sini, masih tenang dan tidak mengalami kesesakan teruk seperti sebelum ini walaupun sempadan antara Malaysia dan Singapura sudah dibuka sejak 1 April lalu.

Tinjauan di sekitar Tambak Johor, pagi ini, mendapati aliran trafik tidak sesak, malah pekerja Malaysia yang menunggang motosikal dilihat tidak berdepan kesesakan teruk berbanding keadaan sebelum pandemik.

Sebahagian pekerja Malaysia juga dilihat berjalan kaki dengan santai merentasi tambak berkenaan untuk memulakan tugas di republik itu.

Keadaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, juga dilihat tenang dengan pergerakan pekerja Malaysia memasuki pusat pemeriksaan itu berjalan lancar dan tidak sesak berbanding semalam.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda, kira-kira 400,000 pekerja Malaysia dan rakyat republik itu berulang-alik setiap hari antara dua negara, sebelum wabak melanda dan sempadan ditutup mulai 18 Mac 2020.

Pekerja Malaysia di Singapura, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 34, berkata, keadaan itu akan berubah apabila sebahagian besar pekerja Malaysia mula dapat membawa kenderaan masing-masing untuk berulang-alik seperti biasa.

Katanya, keadaan Tambak Johor yang tidak sesak ketika ini berikutan sebahagian besar pekerja Malaysia yang sebelum ini membawa motosikal untuk berulang-alik, masih menanti kelulusan permohonan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP).

"Permohonan VEP sebahagian besar pekerja Malaysia masih belum mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura kerana berlaku kekeliruan ketika permohonan dibuat kerana ramai pemohon difahamkan tidak menyertakan nota perlindungan insurans motosikal atau kenderaan masing-masing.

"Ia menyebabkan permohonan VEP ramai pekerja Malaysia ditolak dan terpaksa dibuat semula. Ia menyebabkan ramai pekerja Malaysia kini terpaksa sama ada menaiki bas atau berjalan kaki masuk ke Singapura sehinggalah permohonan mereka diluluskan.

"Atas sebab itulah, berlaku kesesakan agak luar biasa semalam di CIQ BSI, apabila pekerja Malaysia yang permohonan VEP mereka belum diluluskan beramai-ramai memasuki republik itu untuk tinggal sementara di di sana sehinggalah permohonan VEP mereka diluluskan.

"Apatah lagi ramai pekerja Malaysia masih mempunyai baki kontrak sewa bilik yang hanya akan berakhir akhir bulan ini. Saya jangkakan, bulan hadapan atau selepas Aidilfitri, lebih ramai pekerja Malaysia akan berulang-alik seperti biasa apabila permohonan VEP mereka diluluskan dan keadaan Tambak Johor juga akan kembali sesak seperti dulu," katanya ketika dihubungi.

Semalam NSTP melaporkan, ribuan pekerja Malaysia yang mahu pulang bekerja di Singapura memenuhi CIQ BSI, di sini, sejak 8 malam Isnin hingga awal pagi semalam.

Ia selepas lebih seminggu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April lalu.

Disiarkan pada: April 12, 2022 @ 9:02am


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2025 01:26 AM GMT+8 , Processed in 0.162094 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list