|
ROSLIN (kanan) turut beraksi pada perlawanan amalm, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Kuala Lumpur: Seperti di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), sebelum ini, Lee Zii Jia akan menjadi watak penting dalam menyumbang mata buat negara dan ia bakal diulangi apabila skuad lelaki beraksi di Piala Thomas, bulan depan.
Perkara itu diakui bekas pemain perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim, yang melihat pemain profesional, Zii Jia sebagai tonggak penting dan diyakini mampu menyuntik semangat rakan sepasukan bagi mencapai kemenangan.
"Saya percaya Zii Jia sedar dengan tanggungjawab yang digalasnya dan akan melakukan yang terbaik bagi memberi mata pertama kepada pasukan.
"Zii Jia adalah pemain yang boleh diharapkan dan menunjukkan permainan konsisten walaupun belum meraih sebarang gelaran selepas menjuarai Seluruh England, tahun lalu," kata Hafiz ketika ditemui pada perlawanan amal badminton anjuran Surau Al-Abidin Perumahan Kastam WPKL antara bekas pemain kebangsaan dengan artis tanah air, malam tadi.
Menurutnya, dia percaya, Zii Jia mampu menggalas tugas selaku perseorangan pertama, sekali gus memberikan suntikan semangat kepada pasukan.
"Sudah pasti Jepun adalah cabaran terbesar buat pasukan kita dalam peringkat kumpulan, mereka memiliki pasukan seimbang antara perseorangan dan beregu.
"Namun, berdasarkan prestasi semasa pemain negara yang agak konsisten ketika ini, saya fikir bukan mustahil untuk kita menang ke atas Jepun dan seterusnya menjuarai peringkat kumpulan," kata juara Seluruh England 2003 itu.
Bagi saingan Piala Thomas yang diadakan di Bangkok, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan New Zealand.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi final.
Sementara itu, perlawanan amal malam tadi bertujuan mengumpul dana untuk kegunaan Surau Al-Abidin yang ditaja syarikat pembekal alat pernafasan, House of Oxygen (HOO).
Ketua Pegawai Eksekutif HOO, Azri Hamzah, berkata ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya disamping mengambil keberkatan bulan Ramadan.
"Sebenarnya memang setiap tahun HOO terbabit dengan program seumpama ini.
"Kami sentiasa memberikan sokongan terhadap program seperti ini menerusi CSR kami," kata Azri yang menyatakan syarikat itu menyumbang RM1,000 kepada Surau Al-Abidin.
Selain Hafiz, antara bekas pemain kebangsaan yang turut terbabit dalam perlawanan amal itu ialah Roslin Hashim, Mohd Ariff Latif, Mohd Zakry Latif, Razif Latif dan Sairul Amar Ayob manakala antara artis yang hadir adalah Shah Slam, Nomad serta pelakon, Datuk Fizz Fairuz.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... watak-penting-hafiz |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|