|
NORA diyakini bersedia menggalas tugas memburu pingat pada Sukan SEA Hanoi meskipun sebelum ini tanggungjawab itu digalas oleh pemain lebih senior.
MESKIPUN turun selaku muka baharu pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam, namun ia tidak dijadikan bebanan atau tekanan buat atlet boling negara, Nora Lyana Nastasia Norkamal untuk melakukan kejutan untuk membawa pulang pingat buat kontinjen Malaysia.
Tindakan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menghantar muka baharu atau skuad kedua pada temasya dwitahunan tersebut bukan satu keputusan semborono, malah yakin kesemua atlet muda yang terpilih mampu memberi tentangan cukup sengit.
Bagi atlet berusia 25 tahun itu, dia bersedia untuk menggalas tugas memburu pingat pada pada 12 hingga 23 Mei ini nanti walaupun sebelum ini, tanggungjawab itu diberikan kepada pemain ‘senior’.
“Kami yakin dan percaya dengan bimbingan jurulatih serta program yang dirangka sepanjang tempoh persediaan, ia mampu menyediakan diri kami untuk memberi aksi terbaik di Sukan SEA Hanoi nanti.
“Sudah tentu, kami akan meneruskan legasi dan semangat pemain senior yang tidak pernah mengecewakan negara dalam perebutan pingat di sukan itu. Kami sudah berlatih dengan mereka sekian lama dan banyak yang dapat dipelajari.
“Walaupun kali pertama turun di Sukan SEA, tapi misi utama kami adalah bersaing merebut pingat, cuma acara kali ini berkurang berbanding Sukan SEA di Manila iaitu hanya ada perseorangan, regu dan berpasukan dengan hanya enam pingat emas ditawarkan untuk kategori lelaki dan wanita,” katanya.
Pada Sukan SEA di Manila, Filipina tiga tahun lepas, Malaysia secara keseluruhan memenangi tujuh pingat dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata, keputusan menghantar skuad kedua bukan bermakna mereka tidak mampu menghadirkan pingat, namun ia adalah sebagai pendedahan dan proses peralihan untuk pemain-pemain ini menimba pengalaman.
“Mereka juga memiliki standard yang tidak jauh beza dengan pemain ‘senior’. Jadi, kami masih yakin barisan pemain ini mampu membawa pulang pingat,” jelasnya.
Skuad elit negara pada ketika ini ‘direhatkan’ beraksi di Sukan SEA apabila kini membuat persediaan untuk bertanding pada tiga kejohanan besar iaitu Kejohanan Dunia 2022 di Amerika Syarikat diikuti Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong dan Terbuka Singapura pada Disember.
https://www.kosmo.com.my/2022/04/14/nora/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|