|
JOHOR BAHRU 18 MAC 2022. Pelari pecut negara, JONATHAN Nyepa beraksi cemerlang di Singapura. FOTO Aisyah Mazalan
Kuala Lumpur: Atlet kebangsaan, Jonathan Nyepa menampilkan larian bertenaga untuk muncul raja pecut dan membantu kuartet lelaki 4x100 meter (m) meraih pingat emas pada hari terakhir Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82 2022, hari ini.
Bagi acara 100m, pelari dari Sarawak itu yang mencatat masa 10.66 saat (s) hanya dibezakan 0.01s untuk mengesahkan emas miliknya selepas mengetepikan wakil tuan rumah, Marc Brian Louis yang meraih perak dengan catatan 10.67s.
Lebih manis, Jonathan turut berjaya menewaskan rakan senegara, Muhammad Haiqal Hanafi, apabila juara Sukan Sea itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 10.75s.
Jonathan kemudian melakar kejayaan berganda apabila beliau bersama Muhammad Haiqal, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Muhammad Zulfiqar Ismail mencatat 39.66s untuk merangkul emas acara 4x100m lelaki menewaskan Indonesia serta Singapura yang berkongsi perak selepas kedua-dua negara itu mencatat masa 40.09s.
Dalam pada itu, M.Avinesh Austin turut mencuri tumpuan susulan kejayaannya meraih emas acara 800m lelaki dengan catatan masa satu minit 55.14s manakala atlet Filipina, Edwin Giron Jr merangkul perak (1:55.27s) dan Mohamed Haja Fayiz yang mewakili pasukan Swift membawa pulang gangsa (1:59.29s).
Sementara itu, aksi di padang menyaksikan Malaysia membolot emas lempar cakera bagi kategori lelaki dan wanita, masing-masing menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin dan Queenie Ting Kung Ni.
Muhammad Irfan menguasai acara lelaki dengan catatan 59.15m yang jauh meninggalkan atlet Filipina, John Albert Mantua (49.57m) untuk pingat perak diikuti Eric Yee Chun Wai daripada National University Singapore yang menamatkan saingan dengan pingat gangsa (47.67m).
Queenie pula memastikan emas miliknya selepas mencatat 46.27m untuk menewaskan seorang lagi wakil negara, Choo Kang Ni (44.11m) yang meraih perak dan Melissa Yee Wai Teng daripada Singapore Institute of Technology merekodkan 33.82m untuk pingat gangsa.
Selain itu, catatan 7.60m sudah cukup bagi pemegang rekod kebangsaan lompat jauh lelaki, Andre Anura Anuar untuk muncul juara acara itu seterusnya mengecewakan Janry Ubas dari Filipina yang mendapat pingat perak (7.52m) dan gangsa pula dimenangi Tedd Toh daripada Wings Athletics Club (6.93m).
Atlet berpengalaman, Norliyana Kamaruddin sekadar meraih perak acara heptatlon wanita dengan mengumpul 4,875 mata dan terpaksa akur dengan kehebatan Sarah Dequinan dari Filipina yang menggenggam emas (5,008 mata) dan rakan senegaranya, Josefa Ligmayo memperoleh gangsa (4,486 mata).
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... pa-gegar-kota-singa |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|