|
Myisha (tengah) menjuarai Siri Antarabangsa Belanda kelmarin.
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita muda negara, Myisha Mohd Khairul menganggap perjuangannya bagi menempa nama di pentas antarabangsa baru bermula susulan kejayaan menjuarai Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen, kelmarin.
Bintang berusia 20 tahun itu, berkata kejayaan yang dilakarnya itu sebagai titik permulaan dan memberikan suntikan semangat buat dirinya untuk melangkah lebih jauh dalam arena badminton dunia.
"Sebenarnya saya tidak jangka akan muncul juara, namun saya bersyukur dengan kejayaan ini. Saya harap dapat mengekalkan momentum ini apabila beraksi dalam kejohanan akan datang," katanya.
Myisha muncul juara selepas mengetepikan cabaran rakan senegara, Siti Nurshuhaini Azman 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi final.
"Kami memang sudah tahu corak permainan masing-masing kerana menjalani latihan bersama. Sebab itu, aksi final itu berlangsung sengit.
"Alhamdulillah, saya dapat mengatasi tekanan dan memenangi perlawanan," kata pemain berasal dari Johor Bahru, Johor itu.
Sebagai rekod, ia adalah gelaran pertama pemain ranking ke-328 dunia itu dalam saingan peringkat senior di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, pencapaian terbaiknya adalah membantu skuad wanita negara meraih gangsa Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu.
Kejayaan di Belanda itu boleh dianggap tonik terbaik buat Myisha yang akan membarisi skuad negara beraksi dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini.
https://www.bharian.com.my/sukan ... onik-terbaik-myisha |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|