|
Dari kiri atlet fin swimming, Khiew Tze Yean; jurulatih, Abdullah Nazirulmubin Ahmad Aiman pengurus pasukan, Ravi Varma dan atlet wanita, Leong Wan Mei.
KUALA LUMPUR: Tuan rumah Vietnam dilihat sebagai 'abang long' dalam sukan fin swimming di temasya Sukan SEA yang dijadual berlangsung di negara itu pada bulan depan.
Begitupun, semangat pasukan fin swimming negara yang bakal membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu sama sekali tidak luntur dan semangat mereka untuk membutirkan kilauan pingat tetap membara.
"Berdasarkan rekod, Vietnam pasukan yang terkuat, boleh dikatakan sebagai 'orang lama' manakala Malaysia pula seperti bayi yang baharu merangkak. Bagi saya, pencabar utama adalah Vietnam, diikuti Indonesia dan Singapura yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan.
"Berdasarkan catatan masa di kejohanan Universiti Fin Swimming di Itali baru-baru ini, Khiew Tze Yean meraih keputusan yang baik dalam 100m bifin lelaki. Dari situ, sekiranya dibandingkan dengan Kejohanan Fin Swimming Asia di China 2019, ada kebarangkalian untuk berada dalam kelompok dua terbaik.
"Namun itu pada 2019. Dalam jarak masa itu juga, Singapura pula dilihat sedang membangun dan kita tak nak bercakap mengenainya (kebarangkalian kilauan pingat lebih baik). Jadi sasaran kita gangsa dan kita akan memberikan yang terbaik," kata pengurus pasukannya, S Ravivarma.
Pasukan fin swimming negara bakal membariskan lima atlet yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita iaitu 100 meter (m) bifin lelaki dan wanita; 50m surface monofin lelaki dan 4x100m bifin berganti-ganti campuran.
Tze Yean menjadi taruhan utama skuad fin swimming untuk membutirkan kilauan gangsa dalam acara 100m bifin lelaki dan atlet berkenaan turut dijadual menyertai acara baharu yang kali pertama dipertandingkan di Hanoi, iaitu 4x100m bifin berganti-ganti campuran bersama Cheng Ka Man, Leong Wan Mei dan Saw Jin Er.
Untuk rekod, sukan fin swimming mula dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam 2003.
Ia kemudian dipertandingkan di Laos dengan pada ketika itu, Vietnam membolot lapan emas, lapan perak dan tiga gangsa manakala Indonesia muncul naib juara, tiga emas, lima perak dan enam gangsa.
Sukan itu dipertandingkan di Indonesia 2011 dan menyaksikan Indonesia mendominasi carta keseluruhan pingat dengan tujuh emas, lapan perak dan dua gangsa manakala Vietnam, enam emas, lima perak dan enam gangsa.
https://www.bharian.com.my/sukan ... tekad-cipta-kejutan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|