View: 416|Reply: 0
|
Liek Hou pertahan kejuaraan di Brazil
[Copy link]
|
|
Cheah Liek Hou mempertahankan kejuaraan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022. - Foto AGENSI
KUALA LUMPUR: Pengorbanan Cheah Liek Hou yang mengeluarkan perbelanjaan sendiri berbaloi apabila dia berjaya mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Brazil 2022, malam tadi.
Malah, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu juga boleh menarik nafas lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk membayar semula perbelanjaan yang ditanggungnya bagi menyertai kejohanan di Sao Paulo itu.
Terdahulu, pemain berusia 34 tahun berkenaan muncul juara selepas menewaskan Meril Loquette dari Perancis 21-17, 21-17 dalam aksi final perseorangan lelaki SU5.
Bagi Liek Hou, biarpun muncul juara, dia masih tidak berpuas hati dengan prestasi dan permainannya kerana disifatkan belum berada pada tahap terbaiknya.
"Jika dibandingkan dengan Olimpik Tokyo, nampak jelas prestasi saya sudah menurun dari segi pergerakan dan permainan dalam gelanggang…saya banyak buat kesilapan. Selain itu, disebabkan sudah lebih tujuh bulan tidak beraksi di kejohanan, ia juga menjejaskan prestasi saya.
"Saya jadi juara kali ini mungkin disebabkan pengalaman yang mana ia membantu saya mengawal keadaan dengan baik apabila dalam situasi getir," katanya kepada BH Sukan.
Sebagai rekod, kejuaraan itu adalah yang kelapan berturut-turut buat Liek Hou di pentas antarabangsa sejak Oktober 2019.
Sepanjang tempoh itu yang menyaksikan dia memenangi emas Paralimpik Tokyo, Liek Hou juga merangkul gelaran dalam saingan badminton para di Denmark dan Jepun (2019); Peru dan Brazil (2020); Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sepanyol, tahun lalu.
Mengulas berkenaan keputusannya yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk ke Sao Paulo, Liek Hou berkata dia perlu menyertai kejohanan berkenaan bagi mengelak kedudukan ranking nombor dua dunianya jatuh selepas tidak dapat beraksi dalam dua kejohanan di Sepanyol, Mac lalu kerana dijangkiti COVID-19.
Katanya, dia mengakui kecewa dengan MSN yang pada awalnya tidak mahu membantu kerana kejohanan berkenaan tidak termasuk dalam tujuh kejohanan yang berada dalam program MSN.
"Memang betul kejohanan di Brazil tidak ada dalam program MSN tetapi saya sudah tidak pergi dua kejohanan di Sepanyol…jadi, sepatutnya peruntukan itu ada dan boleh disalurkan untuk menghantar saya ke Brazil tetapi MSN tidak bersetuju.
"Jadi, demi kebaikan diri saya sendiri, saya buat keputusan untuk pergi. Pada awalnya, ada penaja yang mahu menaja tetapi mereka tarik diri saat akhir sekali gus membuatkan saya terpaksa membayar semua perbelanjaan.
"Namun, akhirnya MSN memaklumkan yang mereka akan bantu dan apabila saya pulang saya boleh tuntut perbelanjaan yang saya sudah keluarkan," katanya yang ditemani jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek di Sao Paulo.
Liek Hou akan mengalihkan fokusnya selepas ini bagi melakukan persiapan menghadapi kejohanan di Bahrain dan UAE, bulan depan.
https://www.bharian.com.my/sukan ... kejuaraan-di-brazil |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|