View: 444|Reply: 0
|
Tiada kes doping ke Sukan Sea setakat ini
[Copy link]
|
|
AHMAD Faizal Azumu memberi kata-kata semangat kepada atlet Menembak kebangsaan sewaktu hadir bagi melakukan lawatan di Pusat Latihan Kontinjen Sukan Sea di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. -FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setakat ini boleh menarik nafas lega kerana tiada sebarang kes doping dilaporkan sejak ujian dilakukan secara rawak ke atas atlet yang akan beraksi di Sukan Sea Hanoi bulan depan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan beliau turut berasa lega dengan perkhabaran berkenaan walaupun ujian doping masih berjalan secara rawak.
"Tiada kes (doping) Alhamdulillah. Semua berada dalam keadaan baik saya harap perkara ini dapat dikekalkan dengan momentum terbaik. Ia (ujian doping) masih diteruskan secara rawak," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di pusat latihan atlet bagi meninjau persiapan beberapa pasukan yang menyertai Sukan Sea di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini mengumumkan bahawa selain latihan dalam gelembung, ujian doping turut dijalankan secara rawak ke atas atlet yang menyertai temasya dwitahunan itu.
Tiada kes penyalahgunaan bahan terlarang direkodkan pada Sukan Sea 2019 Filipina, namun terdapat kes atlet Malaysia sangkut ujian doping pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur dan Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Dalam masa sama beliau turut mengesahkan MSN akan menghantar pasukan menyediakan makanan kepada atlet di Hanoi bagi mengatasi masalah penyediaan makanan halal di negara berkenaan.
"MSN sudah membuat tinjauan awal dan mendapati sedikit masalah (penyediaan makanan kepada atlet negara). Bagaimanapun, mereka segera mengaturkan untuk membawa sendiri pasukan penyediaan makanan kepada atlet. Alhamdulillah perkara ini juga selesai dengan kita dapat menyediakan makanan halal dan bersih kepada kontinjen negara.
"Mereka juga akan menyediakan pek makanan kepada atlet negara selain membawa tukang masak yang boleh menggunakan dapur di hotel penginapan masing-masing untuk masak makanan kita sendiri kepada atlet," katanya.
Beliau turut menasihat agar atlet negara dapat menjaga disiplin masing-masing apabila tiba di Hanoi nanti agar tidak terkena dengan jangkitan Covid-19.
"Pasukan peninjau sudah pergi ke sana dan melihat ada persiapan yang dilakukan tuan rumah. Bagaimanapun, saya ingin menegaskan kepada atlet untuk kekalkan disiplin masing-masing dan bergerak dalam gelembung sendiri. Kita dapati kes Covid-19 di Hanoi sangat tinggi.
"Saya harap atlet kita dapat melakukan prosedur operasi standard (SOP) kendiri kerana ia sangat penting. Tidak perlu keluar berjalan-jalan dan fokus kepada kejohanan berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata semangat atlet negara tidak luntur walaupun terpaksa menukar jadual berikutan Ramadan, tidak dapat beraya bersama keluarga dan beraksi pada bulan Syawal demi negara.
Terdahulu, Ahmad Faizal meninjau latihan pasukan lawan pedang, karate, menembak, olahraga, silat, kurash dan judo yang giat berlatih pada waktu malam berikutan Ramadan di MSN.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... kan-sea-setakat-ini |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|