CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 648|Reply: 2

[Tempatan] Aidilfitri kembali mengamit kerinduan pada yang telah 'pergi' akibat Covid-19

[Copy link]
Post time 9-5-2022 09:30 PM | Show all posts |Read mode
Edited by JoyahMengayah at 10-5-2022 02:22 PM

KUALA LUMPUR: Masuk hari kelapan meraikan Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu dapat mengubati kerinduan apabila bertemu sanak saudara. Ziarah dari rumah ke rumah menjadi amalan harian sepanjang sebulan Syawal diraikan.

Namun begitu, tidak semua orang dapat meraikan hari raya kali ini bersama insan yang mereka sayangi. Memang lain suasananya bagi ahli keluarga yang kehilangan ayah, ibu serta adik beradik mereka akibat COVID-19. Hanya doa dapat dititipkan agar kerinduan yang menebal dalam diri itu terubat.

Kami ke pusara COVID-19 di Pusat Perkuburan Raudhatul Sakinah di Gombak baru-baru ini bagi mendekati insan yang menziarahi pusara ahli keluarga.

Sepanjang pemerhatian penulis, terlihat seorang ibu bersama tiga anaknya sedang berteduh di bawah pondok berhampiran salah satu pusara. Kelihatan insan ini termenung, tatkala memandang pusara yang berada kira-kira 50 meter darinya.

Penulis mendekatinya, Nurzawani Kamarudin, 35, ibu tunggal kepada tiga anak ini kehilangan ibunya dua bulan lalu akibat COVID-19. Arwah ibunya menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang sudah sekian lama. Setiap hari Nurzawani menjaga ibu bapanya serta tiga anaknya yang menjadi penguat semangat buatnya. Segalanya berubah pada Mac lalu, apabila ibunya disahkan positif COVID-19 selepas menjalani rawatan di sebuah pusat dialisis.

"(Arwah) Dia dibawa ke hospital dari tempat dialisis, kami dapat tahu pun apabila pihak dialisis telefon, kata mak dah dihantar ke Hospital Sultan Mizan di Wangsa Maju.

"Masa itu memang mak dah lemah sangat, lepas tu bila sampai ke Hospital Sultan Mizan, 15 minit selepas itu doktor beritahu dia positif COVID-19. Tapi doktor tidak fokus kepada itu, lebih fokus dekat otak dia sebab dah bleeding di otak kiri," imbasnya menceritakan detik itu. Hanya 10 minit selepas itu, jelas Nurzawani, doktor mengesahkan ibunya sudah koma akibat pendarahan di otak.

"Doktor suruh saya isi borang saya pun keluar sekejap, masuk balik dia dah koma.

"Masa saya nak keluar (isi borang) itu (saya tengok) mak macam pening-pening (akibat darah tinggi). Bila dah (disahkan) koma di Hospital Sultan Mizan itu, dia dihantar pula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk scan otak.

"Doktor di HKL pun kata otak belah kiri dah ada pendarahan dan belah kanan dah ada tompok darah. Memang peratus untuk dia selamat memang tiada. Dia ada penyakit tiga serangkai dalam 40 tahun," katanya lagi.

Tarikh 9 Mac 2022 jelas Nurzawani lagi, adalah kali terakhir dia dapat melihat ibunya sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian. Lebih memilukan adalah apabila dia tidak dapat menemani perjalanan terakhir ibunya ke liang lahad susulan proses pengebumian dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Sebab tak dapat mandikan, berapa orang sahaja boleh masuk. Sedihlah, sebab last sekali tidak dapat prepare untuk dia. Kami anak permpuan tiga orang, seorang pun tak boleh buat apa-apa. Pengecaman mayat pun anak lelaki yang buat.

"Last tengok di HKL, kami tak dapat jaga, sehari sebelum dia pergi sempat video call, esoknya itu hari Khamis doktor call kata dia dah nazak minta datang ke hospital.

"Tapi kami masih tak boleh jenguk, hanya uruskan pengebumiannya," katanya lagi.

Hanya dibenarkan berdiri dari suatu jarak dari liang lahad, itulah detik yang tidak dapat dilupakan Nurzawani sekeluarga, apabila melihat arwah ibunda tercinta diturunkan ke tanah dan dikebumikan. Redha dengan ketentuan ilahi, pesanan arwah ibu tidak pernah dilupakan Nurzawani.

Selesai mendalami kisah Nurzawani, penulis terlihat pula seorang lelaki sedang berjalan ke arah sebuah pusara. Persiapannya cukup rapi, dengan memakai but kerana keadaan tanah perkuburan yang berlumpur akibat hujan lebat sebelah malam, serta bunga mawar yang turut dibawanya untuk ditabur di pusara. Ketika mendekatinya, insan bernama Mohd Taufeq Mohd Tariq, 39, ini memberi kebenaran buat penulis untuk mendengar ceritanya.

Ibunya meninggal dunia lebih lapan bulan lalu akibat COVID-19, selepas bertarung nyawa hampir dua minggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Kalau ikutkan tarikh meninggalnya, pada 19 Ogos 2021, baru nak dekat lapan bulan lebih.

"Dia (arwah ibu) sebenarnya selepas mengambil dos kedua, antibodi dia drop lepas itu dalam tempoh dua minggu tu dia mula tunjukkan simptom dan collapsed.

"Pada 7 Ogos, keluarganya menghantarnya ke HKL. Sesampai sahaja, dia dimasukkan ke wad COVID-19 dan dipasang ventilator," jelas Mohd Taufeq.

Sejak itu, setiap hari beliau dan ahli keluarga yang lain hanya mampu mendapatkan informasi mengenai kesihatan ibunya daripada jururawat yang bertugas. Genap 12 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL akibat dijangkiti COVID-19, arwah ibunya pergi menyahut panggilan Ilahi.

"Kali terakhir (saya lihat ibu) masa dia ditolak ke dalam ambulans pada 7 Ogos itu, masa itu dia separuh sedar, mata dia masih terbuka. Kita bercakap dengan dia agar cepat sembuh.

"Niat arwah ini nak pergi umrah, sebab itu dia ambil dos kedua seperti disarankan pihak kerajaan Arab Saudi apabila buka sempadan.

"Dia nak berdaftar dah tapi tak mengizinkan, dia pergi dulu. Niat dia memang nak pergi umrah dengan ayah saya," jelasnya lagi.

Tambah Mohd Taufeq, dia tidak akan pernah melupakan detik terakhir saat memegang tangan arwah ibunya sebelum dimasukkan ke HKL. Meskipun detik itu hanya seketika, namun itulah perbualannya kali terakhir bersama arwah.

"Kali terakhir saya pegang tangan dia, saya bercakap dengan dia, dia ada bagi reaction... air matanya mengalir. Dia dengar tapi saya faham dia sebenar dalam keadaan nazak ketika itu," katanya lagi.

Syawal kali ini tentunya amat sayu buat Mohd Taufeq, apabila tiada lagi insan yang tidak pernah lupa memasak juadah kegemarannya iaitu ketupat palas setiap kali menyambut Aidilfitri.

"Bagi orang yang melaluinya, ada juga trauma. Tapi mungkin itu yang terbaik untuk arwah, kalau dia hidup pun kita tak tahu apa kesakitan yang dia tanggung.

"Betul... raya pertama tanpa arwah, memang terasalah. Kalau biasa pagi-pagi raya, arwah dah call 'jangan lupa ambil ni (ketupat palas), mama dah masak'. Anak saya pun cucu kesayangan dia.

"Dia kata 'jangan lupa ambil ni (ketupat palas) bagi Uwais (cucu).. mesti suka ni nenek masak'. Kata-kata itu terngiang-ngiang cuma sekarang dia sudah jadi memori indah," katanya dalam nada sebak.

Menerima takdir Yang Maha Esa dengan seikhlasnya, bagi Mohd Taufeq, ketika ini ayahnya menjadi penguat semangat buat dirinya dan keluarga. Meskipun pada awalnya, ayah Mohd Taufeq sukar menerima kenyataan tentang pemergian pasangannya ke negara abadi, lama-kelamaan dia mulai faham dan redha dengan ketentuan Ilahi.

Pesanan Mohd Taufeq kepada kita semua hanya satu... ketika masih ada masa dan peluang, bahagiakanlah ibu dan bapa. Sekiranya sudah tiada, kerinduan yang dialami jelasnya amat mendalam dan hanya doa dapat mengiringi kerinduan yang tiada penghujungnya itu.

Petikan: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/aidilfitri-rindu-pada-yang-telah-pergi-akibat-covid19-itu-perit-360445



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-5-2022 10:19 AM From the mobile phone | Show all posts
sama lah. Tahun ni raya tanpa ibu.
Reply

Use magic Report

Post time 10-5-2022 11:21 AM From the mobile phone | Show all posts
Dalam kegembiraan beraya, jangan dilupakan sedekah Al-Fatihah kepada yang telah pergi.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 06:59 PM GMT+8 , Processed in 1.344434 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list