CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 417|Reply: 0

[Dunia] Sri Lanka semakin huru-hara

[Copy link]
Post time 11-5-2022 11:12 AM | Show all posts |Read mode

Penunjuk perasaan dan penyokong kerajaan bertempur di luar kediaman rasmi Mahinda di Colombo, kelmarin. - AFP

Sri Lanka semakin huru-hara

COLOMBO – Beribu-ribu anggota polis dan tentera dikerahkan ke seluruh Sri Lanka bagi menguatkuasakan perintah berkurung selepas lima individu maut dalam keganasan terbaharu yang tercetus selepas berminggu-minggu di negara itu.

Hampir 500 penduduk cedera kelmarin, ketika Perdana Menteri (PM), Mahinda Rajapaksa meletak jawatan, namun ia dilihat tidak cukup untuk meredakan kemarahan orang ramai.

Mahinda terpaksa diselamatkan menerusi satu operasi khas tentera yang dijalankan sebelum subuh selepas beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya di Colombo pada waktu malam.

Pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan memberi amaran tembakan untuk meredakan keadaan.

“Selepas operasi sebelum subuh, bekas PM dan ahli keluarganya dipindahkan ke tempat selamat oleh anggota tentera.

“Sekurang-kurangnya 10 bom minyak petrol dilempar ke kawasan pekarangan kediaman Mahinda,” kata seorang pegawai tertinggi keselamatan.

Selain itu, penduduk yang berang turut bertindak membakar kediaman beberapa ahli politik proRajapaksa, bersama-sama dengan kenderaan milik mereka.

Dalam masa sama, bas-bas dan lori-lori yang digunakan oleh penyokong kerajaan di sekitar Colombo turut menjadi sasaran.

Beberapa buah rumah milik keluarga Rajapaksa turut dibakar di seluruh negara, selain sebuah muzium keluarga di sebuah perkampungan juga musnah.

Selepas beberapa minggu tunjuk perasaan anti kerajaan berlaku dalam keadaan terkawal, keganasan akhirnya tercetus kelmarin apabila para penyokong Mahinda menyerang penunjuk perasaan menggunakan kayu dan belantan.

“Kami dipukul, media juga dipukul, begitu juga dengan wanita dan kanak-kanak,” kata seorang saksi yang enggan dikenali.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi meleraikan orang ramai serta mengisytiharkan perintah berkurung segera di Colombo. Arahan itu kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara dengan 22 juta penduduk itu.

Pihak berkuasa berkata, perintah berkurung itu akan berakhir pada pagi ini, dengan pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, kedai serta sekolah diarah kekal ditutup semalam.

Dalam pada itu, seorang Ahli Parlimen parti pemerintah, Amarakeerthi Athukorala bertindak melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan yang menghalang kenderaannya.

Tindakannya itu telah membunuh seorang lelaki berusia 27 tahun serta mencederakan dua lagi.

Amarakeerthi kemudiannya dilaporkan membunuh diri, namun parti politik yang diwakilinya mendakwa beliau telah dibunuh. Seorang pengawal peribadinya juga turut ditemui mati, namun tidak dinyatakan punca kematian.

Selain itu, seorang lagi ahli politik yang identitinya tidak didedahkan turut menembak mati dua penduduk dan mencederakan tiga lagi di bandar Weeraketiya, kelmarin sebelum melarikan diri.

Sementara itu, di tengah-tengah keadaan huru-hara di negara Asia Selatan itu, Presiden Gotabaya Rajapaksa masih kekal memerintah, namun kuasa dan arahan banyak diserahkan kepada pasukan keselamatan.

Kuasa yang selama ini dimiliki oleh ahli keluarga Rajapaksa goyah selama beberapa bulan lalu akibat pelbagai isu seperti bekalan elektrik terputus dan masalah kekurangan bekalan minyak, sekali gus menjadikan Sri Lanka berada dalam krisis ekonomi terburuknya sejak kemerdekaan negara pada 1948. – AFP

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/05/11/sri-lanka-semakin-huru-hara/

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 09:58 PM GMT+8 , Processed in 0.062298 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list