View: 405|Reply: 0
|
Firasat Chong Wei aksi Malaysia-India malam ini
[Copy link]
|
|
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia bakal menjadi sandaran utama Malaysia apabila bertemu India saingan suku akhir Piala Thomas di Bangkok, malam ini. - Foto BERNAMA.
KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menyifatkan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memegang 'kunci' utama terhadap peluang Malaysia bagi menundukkan India dalam aksi suku akhir Piala Thomas yang dijadual berlangsung di Bangkok, jam 8 malam ini.
Legenda badminton negara itu, berkata kemenangan Zii Jia dalam perlawanan pertama bakal meningkatkan tahap keyakinan rakan sepasukan bagi mengharungi perlawanan seterusnya sekali gus memastikan kemaraan ke separuh akhir.
Zii Jia yang juga pemain nombor enam dunia dijangka turun menentang Lakshya Sen, lawan yang menewaskannya ketika separuh akhir Seluruh England, Mac lalu.
"Paling penting adalah kita menang perlawanan perseorangan pertama. Kalau kalah memang kita ada peluang lagi tetapi ia akan menjadi sukar kerana kita perlu menang kedua-dua perlawanan beregu dan satu perseorangan.
"Saya fikir, tiada masalah untuk Zii Jia memberi mata pertama berdasarkan prestasi semasanya. Kalau kita tengok ketika dia menewaskan Kento Momota semalam, dia berada pada tahap prestasi terbaik dan berkeyakinan tinggi.
"Kalau Zii Jia menang, ia akan meningkatkan keyakinan pemain yang lain terutamanya beregu pertama yang turun selepas itu," kata Chong Wei yang meramalkan peluang adalah 60-40 buat Malaysia bagi mengatasi India, malam ini.
Terdahulu, Malaysia mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas kemenangan ke atas Jepun 3-2, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menang semua aksi peringkat kumpulan selepas turut menewaskan England dan Amerika Syarikat dalam dua perlawanan awal.
Jika berjaya mengatasi India, malam ini, skuad negara bakal bertemu pemenang perlawanan antara Denmark dengan Korea Selatan di separuh akhir.
Ditanya siapa pemain menjadi pilihannya bagi menggalas tugas selaku perseorangan kedua dan ketiga, Chong Wei memilih Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.
"Walaupun Tze Yong tidak menang dalam pertemuannya dengan K Srikanth (perseorangan kedua India) sebelum ini tetapi saya percaya peluang masih 50-50 kerana ini adalah kejohanan berpasukan, tidak sama dengan individu. Lagipun, kalau letak Liew Daren sebagai perseorangan kedua belum tentu menang juga.
"Sekurang-kurangnya kalau Tze Yong kalah pun, dia dapat pengalaman berguna bagi persiapan menghadapi kejohanan selepas ini seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Untuk Jun Hao, biarpun dia tewas dalam perlawanan dengan Kenta Nishimoto semalam tetapi saya percaya dia akan kaji semula kekurangannya.
"Bukan satu tugas mudah apabila turun sebagai perseorangan ketiga tetapi saya percaya jika Jun Hao yakin dengan kemampuan dirinya dia boleh mengatasi HS Prannoy (perseorangan ketiga India)," kata Chong Wei.
Sementara itu, mengulas mengenai persaingan dalam acara beregu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu, berkata pasangan mana yang akan diturunkan bergantung kepada percaturan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.
Semalam, Rexy membuat kejutan ketika pertemuan dengan Jepun apabila meletakkan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei sebagai beregu pertama manakala menurunkan gandingan pecahan iaitu Aaron Chia-Teo Ee Yi selaku beregu kedua.
Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila kedua-dua pasangan berkenaan berjaya menyumbangkan mata.
"Rexy seorang jurulatih yang luar biasa dan berani ambil risiko. Bukan mudah sebenarnya untuk dia buat keputusan semalam kerana kalau tidak menjadi pasti dia akan dikecam. Namun, inilah keistimewaan Rexy.
"Saya percaya dia lebih tahu siapa patut diturunkan malam ini bergantung kepada situasi, taktikal permainan dan kekuatan pihak lawan," kata Chong Wei yang meramalkan Malaysia menang 3-1 ke atas India.
India dijangka menurunkan dua beregu utama mereka iaitu pasangan nombor lapan dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dan MR Arjun-Dhruv Kapila.
https://www.bharian.com.my/sukan ... sia-india-malam-ini |
|
|
|
|
|
|
| |
|