|
Ketua jurulatih gimnastik, Ng Shu Wai (kiri) bersama atlit gimnastik wanita, Rachel Le Wen Yeoh ketika sesi latihan Sukan SEA 2021 di Quan Ngua Gymnasium, Hanoi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
HANOI: Atlet gimnastik artistik wanita negara, Rachel Yeoh dan Geanie Ng berpeluang cerah meraih pingat esok selepas memberikan persembahan mantap dalam acara all-around Sukan SEA 2021 di Pusat Gimnasium Quan Ngua, hari ini.
Jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Wai optimis pingat pertama buat kem gimnastik negara mampu diraih terutama melalui Rachel dalam acara palang tidak sejajar.
Katanya, Geanie yang kali pertama beraksi di temasya dwitahunan edisi ke-31 itu turut memberikan persembahan mencapai prestasi seperti diharapkan jurulatih.
"Hari ini persembahan Rachel dan Geanie mencapai apa yang kita harapkan dan kita boleh nampak mereka nak buat sesuatu yang mampu membanggakan.
"Rachel nampak dia memang nak sesuatu yang lebih baik. Prestasi memang bagus dan markah memang apa yang kita jangka. Saya harap esok (hari ini) mereka mampu meningkatkan lagi prestasi.
"Kita mungkin akan kekal rutin atau menambah rutin dan 'difficulty' bergantung kepada apa yang dilakukan pasukan lawan bagi memburu pingat. Pemburuan pingat berdepan sedikit kesukaran kerana Filipina menyenaraikan atlet daripada Amerika Syarikat (AS) tapi kita akan tetap memberi tentangan sengit," katanya.
Shu Wai berkata, mungkin sebelum ini pada temasya dwitahunan berkenaan di Singapura dan Manila, emas dihadiahkan Farah Ann Abdul Hadi namun ketiadaan ratu gimnastik negara itu jelas dirasai kem negara, selain Filipina menyenaraikan empat atlet 'naturalisasi' AS untuk mewakili negara itu sekali gus memberi cabaran besar buat Malaysia.
Empat pingat emas akan ditawarkan di Pusat Gimnasium Quan Ngua dengan membabitkan tiga untuk kategori lelaki dan satu bagi wanita.
Rachel yang akan turun dalam acara palang tidak sejajar bersedia sepenuhnya untuk mengekalkan emas yang dimenangi Farah pada edisi lalu. Pada edisi 2019, Rachel meraih gangsa dalam acara berkenaan, manakala perak dimenangi atlet Vietnam, Do Thi Ngoc Huong dan emas diraih Farah .
https://www.bharian.com.my/sukan ... a-mampu-raih-pingat |
|