Alor Setar: Kaki kanan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tersepit pada eskalator sebuah pusat beli-belah di Lebuhraya Darul Aman di sini, hari ini dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan bagi bantuan khas kejadian itu pada 2.54 petang dan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikerah ke lokasi.
Katanya, pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkiflee Mat Esa tiba tidak lama kemudian dan segera melakukan kerja menyelamat.
"Anggota mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan kaki kanan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dan kerja menyelamat turut dibantu pihak penyelenggara pasar raya itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan ke atas kaki mangsa yang dikeluarkan pada 3.15 petang mendapati terdapat kecederaan pada ibu jari.
"Dia diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital oleh pihak pengurusan pasar raya. Operasi tamat pada 3.22 petang," katanya.