MELAKA: Tiga lelaki memecah masuk rumah sewa seorang peniaga wanita dan melarikan wang tunai serta barangan kemas dianggar bernilai RM4,000 di Kampung Lapan, Bachang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, peniaga kedai makan berusia 50-an bukan hanya ditahan tiga penyamun terbabit selama lebih 40 minit, malah turut diugut bunuh.
Mangsa yang hanya ingin dikenali Lee berkata, ketika kejadian dia dikejutkan bunyi bising seperti pintu jeriji di belakang rumahnya dibuka ketika sedang tidur.
Katanya, sewaktu meninjau melalui tingkap, dia ternampak bayangan orang sebelum cuba mengambil kayu, namun tidak sempat apabila tiga lelaki bertopeng menyerbu masuk dan menahannya hingga cedera pada mulut ketika meronta dan cuba melawan.
"Seorang lelaki berbadan gempal mengawal saya, manakala dua lagi yang bertubuh kurus menggeledah dalam rumah.
"Mereka juga mendesak saya beritahu di mana wang disimpan sebelum menyerkup saya dengan selimut serta mengugut bunuh jika tidak bekerjasama.
"Walaupun takut, saya beranikan diri mengatakan tiada duit dan merayu telefon bimbit dan kad pengenalan saya tidak diambil," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Mangsa yang tinggal sendirian berkata, selepas keadaan reda dia keluar memeriksa dan melihat seorang penjual sayur yang berada di hadapan rumahnya cedera pada kepala dipercayai dipukul perompak terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mengesahkan menerima laporan kejadian samun membabitkan dua mangsa
.
"Wanita itu tidak dicederakan, namun lelaki yang juga peniaga pasar pagi cedera pada kepala akibat dipukul dengan kayu oleh suspek ketika cuba melawan apabila begnya dirampas.
"Mangsa kini dirawat di Hospital Melaka," katanya mengesahklan kes masih dalam siasatan.