|
MIKE bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya. FOTO Bernama
Hanoi: Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah melengkapkan sasaran kem bina badan di Sukan Sea Vietnam 2021 dengan meraih pingat emas dalam kategori Athletics Physique pada penampilan kali pertamanya di temasya dwi tahunan Asia Tenggara itu.
Lebih menceriakan, kemenangan Syarul atau lebih mesra disapa Mike yang hadir di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi itu hadir selepas hampir sedekad sukan itu tidak dipertandingkan sejak Myanmar 2013.
Juara dunia Athletics Physique empat kali berturut-turut sejak 2016 itu jelas gembira dengan persembahannya hari ini meskipun dikesan positif Covid-19 sebaik tiba di Hanoi.
Mike begitupun dibenarkan beraksi selepas didapati bebas Covid-19 sekali gus membuktikan kemampuannya di pentas Asia Tenggara dengan menewaskan atlet tuan rumah, Tien Nguyen Minh yang meraih perak dan Thailand, Pong Pala raih gangsa.
"Memang mencabar," kata Mike kepada media. "Sejak tiba di sini pada 11 Mei, mereka katakan saya positif Covid-19. Saya bantah dan kata tak positif kerana kerap menjalani ujian sebelum berlepas ke sini.
"Selepas itu, mereka kata positif dan dikuarantin dua hari. Pada malam hari pertama, pegawai ISN (Institut Sukan Negara) melakukan ujian dan ia negatif. Keesokan pagi, mereka (penganjur) kata positif dan kami cabar keputusan itu dan melakukan ujian PCR.
"Keputusan OK, tetapi selepas itu, mereka tidak terima dan katakan tak ada bukti. Kami cabar dan buat ujian di depan mereka dan keputusan negatif namun dilihat cuba mengatakan ada garisan (positif)... seperti ini sabotaj namun keputusan selepas itu buat ujian lagi dan negatif.
"Malam hari kedua, saya dilepaskan (daripada kuarantin). Alhamdulillah, saya dapat mengatasinya dan dapat pingat emas. Saya berpuashati dan gembira. Saya hadiahkan emas ini kepada seluruh rakyat Malaysia dan Keluarga Malaysia.
"Saya tak pernah dapat pingat di Sukan Sea. Ini kali pertama saya menyertainya dan meraih emas."
Kemenangan Mike lebih manis apabila menerima sokongan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker yang hadir di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.
"Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada beliau. Kita tahu dia terpaksa melalui beberapa rintangan dan terima kasih kepada Datuk Paul Chua (Presiden Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia) yang membela atlet kita secara profesional," kata Lian Ker.
Pingat perak dimenangi atlet Vietnam, Tien Nguyen Minh manakala gangsa diraih Pong Pala dari Thailand.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... u-sebelum-raih-emas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|