|
NUR Syazwani (tengah) dan Gillian (kiri) ketika acara beregu wanita di Pusat Boling Royal City Hanoi, hari ini. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Kuala Lumpur: Nur Syazwani Sahar dan Gillian Lim menceriakan skuad boling negara di Sukan Sea Hanoi apabila memenangi gangsa bagi acara beregu wanita, hari ini.
Selepas tiga acara tanpa penamat di podium, gandingan Syazwani dan Gillian menamatkan 12 permainan dengan 2,471 jatuhan pin, ketinggalan di belakang pemenang emas dari Singapura, New Hui Fen-Cherie Tan (2,767) dan pemenang perak, Sharon Limansantoso-Tannya Roumimper (2,478) dari Indonesia.
Biarpun membuat penampilan pertama di temasya dwitahunan itu, Syazwani-Gillian berhak mendapat kilauan pingat berdasarkan usaha mereka.
Malah, Cherie dan Hui Fen yang membuat penampilan sulung di Palembang 2011, sudah memenangi sembilan pingat emas Sukan Sea manakala Sharon dan Tannya yang mewakili Indonesia sejak Korat 2007, muncul juara beregu pada 2017 dan 2019.
Gillian yang menduduki tempat keenam individu, semalam, gembira dengan pencapaiannya dan memulakan kutipan pingat buat skuad negara di temasya berkenaan.
"Saya gembira dengan pencapaian ini, walaupun tewas dengan hanya tujuh pin untuk memenangi perak. Mereka adalah gandingan berpengalaman dan kami membuat yang terbaik untuk menyaingi mereka di game terakhir.
"Agak tertekan di hujung perlawanan dan kami gembira mengekalkan permainan untuk menyumbang emas pertama kepada skuad boling.
"Penamat di podium ini memberi makna besar bukan saja kepada saya dan Wani, malah keseluruhan pasukan. Ia meningkatkan moral dan semangat menjelang acara berpasukan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ngat-pertama-boling |
|