|
Kejatuhan harga emas di pasaran ketika ini menyaksikan orang ramai mula menyerbu premis berkenaan untuk mendapatkan koleksi perhiasan itu dengan harga lebih rendah.
Beberapa premis menjual barangan kemas mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 9 pagi walaupun kedai emas mula beroperasi jam 10 pagi.
Gambar hiasan/Kosmo
Seorang peniaga emas, Siti Rohani Roslan, 32, berkata, berita kejatuhan harga emas mula berlaku pada Sabtu lalu menyebabkan orang ramai mula membanjiri kedainya untuk membeli perhiasan itu.
"Sejak harga emas turun sekitar RM20 per gram saya menerima lebih 100 orang pelanggan setiap hari yang berkunjung ke kedai untuk membeli perhiasan tersebut," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia tetap menawarkan pelbagai pilihan menarik kepada pelanggan walaupun harga emas mengalami kejatuhan ketika ini.
Seorang lagi peniaga emas, Mohd Hafiz Mat Rof, 43, berkata, barang kemas seperti gelang jenis lipan, pulut dakap menjadi pilihan para pelanggan di sebalik kejatuhan emas itu.
Katanya, selain itu cincin jenis KLCC dan matahari turut menjadi rebutan pada pelanggan.
"Kebanyakan barang kemas yang dibeli oleh pelanggan bermula dengan harga RM3,000 dan ke atas," katanya.
Sementara itu, Aida Che Isa, 28, dari Jelawat, Bachok, tidak melepaskan peluang untuk membeli barang kemas sebaik sahaja mengetahui kejatuhannya.
Gambar hiasan
"Harga kali ini lebih murah berbanding sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Sebelum raya harga, RM257.36 satu gram namun hari ini ia turun sebanyak RM248.17 satu gram," katanya.
Menurutnya, seawal jam 8 pagi dia sudah berada di Kota Bharu untuk mendapatkan emas idaman pada harga lebih murah.
Sumber: Gempak |
|