|
Kegiatan sekumpulan ‘usahawan’ yang menjual produk hasil curi secara dalam talian dibongkar polis apabila berjaya menahan seorang wanita dan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 15 hingga 28 tahun.
Gambar hiasan
Menurut beliau, kegiatan itu terbongkar selepas seorang penyelia sebuah pasar raya membuat laporan polis berhubung kecurian beberapa barangan kosmetik di tempat kerjanya.
“Pengadu yang perasan kehilangan barangan itu bertindak memeriksa rakaman CCTV sebelum mengesan seorang wanita mencuri barangan berkenaan dengan membawa dua beg milik pasar raya itu pada 9 April lalu.
“Bertindak atas maklumat, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan telah membuat dua serbuan berasingan pada pukul 3 pagi hingga 5.30 pagi, hari ini.
“Hasil serbuan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan kosmetik, tiga pasang kasut, seutas jam tangan, dua beg silang, lima pakaian dan enam beg jenama pasar raya,” katanya.
Sumber: KOSMO! ONLINE |
|