|
Aksi pemain negara, Lee Zii Jia ketika menentang Liew Daren pada Terbuka Thailand di Nonthaburi, Thailand. - EPA
BANGKOK: Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mengesahkan slot ke final Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas menundukkan rakan senegara Liew Daren dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Impact Arena di sini hari ini.
Pemain nombor enam dunia itu terpaksa mengharungi set penentuan untuk menundukkan Liew yang merupakan rakannya dalam latihan, 21-16, 13-21, 21-14 dalam masa 51 minit untuk ke final.
Zii Jia akan bertemu pemain China Li Shi Feng pada perlawanan akhir esok.
Shi Feng mengambil masa 93 minit untuk menundukkan Naraoka Kodai dari Jepun untuk menempah tiket ke final.
Pemain negara berusia 24 tahun itu yang masih belum tewas sejak separuh akhir Kejohanan All-England Mac lepas berharap dapat berehat secukupnya dan bersedia untuk memberikan segala-galanya untuk muncul juara.
"Ia adalah perlawanan sukar… harap saya dapat berehat secukupnya hari ini dan bersedia untuk final esok. Saya akan mencuba segalanya (untuk menang)," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Liew yang berusia 34 tahun mengakui kepantasannya menurun terutama dalam set penentuan ketika berhadapan Zii Jia.
"Saya cuba bermain dengan baik tetapi Zii Jia lebih baik," katanya.
Beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula gagal menyinar di separuh akhir dan tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-19, 21-14.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo dan pilihan keenam kejohanan itu mengakui mereka melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya semasa perlawanan.
"Gaya permainan kami agak sama dengan pasangan Indonesia itu tetapi mereka lebih konsisten," kata Aaron.
Wooi Yik mengakui mereka berdua tidak bermain sebaiknya pada set pertama dan pasangan Indonesia itu mengambil peluang berkenaan dan meneruskan rentak kemenangan mereka.
"Apabila mereka memenangi set pertama, mereka melangkah ke set kedua dengan yakin. Kami cuba sedaya upaya pada set kedua," katanya.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah tersingkir di separuh akhir selepas kalah kepada gandingan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shinda 21-17, 21-17 dalam masa 42 minit.
Thinaah berkata kepantasan beregu Jepun itu memberi tekanan kepada mereka semasa perlawanan.
"Kami cuba mengatasinya tetapi tidak berjaya. Kami perlu tingkatkan prestasi kami dalam kejohanan seterusnya," katanya.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita Taiwan Tai Tzu Ying layak ke final Terbuka Thailand selepas menewaskan pemain tuan rumah Ratchanok Intanon 10-21, 21-13, 21-19. Pilihan kedua kejohanan itu akan bertemu wakil China Chen Yu Fei.
Dalam beregu campuran, pasangan Thailand Sapsiree Taerattanachai-Dechapol Puavaranukroh mara ke final selepas menundukkan Juara Olimpik Tokyo Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China 16-21, 21-12, 21-16.
Pasangan Thailand itu akan bertemu Zhen Si Wei-Huang Ya Qiong dari China. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... al-terbuka-thailand |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|