|
AKSI pemain negara ketika menentang Oman. FOTO MHC
Kuala Lumpur: Oman menjadi mangsa belasahan skuad hoki lelaki negara apabila berjaya menewaskan lawan mereka itu 7-0 pada perlawanan pertama Kumpulan B, Kejohanan Piala Asia di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Meskipun meraih kemenangan besar, ketua jurulatih, Arul Selvaraj mahu barisan pemainnya kekal konsisten terutama apabila berdepan tugas getir bertemu Korea Selatan pada perlawanan kedua, esok.
"Bukan mudah beraksi di kejohanan besar selepas hampir tiga tahun tidak beraksi. Saya percaya setiap pemain akan menemui kembali rentak permainan apabila mengharungi setiap perlawanan
."Mereka mahu masuk ke padang dengan mentaliti mahukan kemenangan. Korea pastinya berbeza berbanding Oman. Mereka mempunyai barisan kejurulatihan bagus dan pemain utama yang mampu menjaringkan gol.
"Pertemuan pertama dengan Oman cukup baik untuk kami mendapatkan rentak bertemu Korea esok," katanya.
Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Arul yang memburu tiket Piala Dunia 2023 bermula garang apabila mendahului tiga gol menerusi pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-6, 13 dan penalti stroke minit ke-19.
Bintang skuad hoki negara, Faizal Saari menjadikan kedudukan 4-0 apabila menjaringkan gol padang minit ke-23 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu.
Bersambung babak kedua, penyerang negara, Muhammad Shahril Saabah melebarkan penguasaan Malaysian Tigers selepas menjaringkan gol padang minit ke-34.
Faiz Helmi Jali dan Mohamad Ashran Hamsani masing-masing menjaringkan minit ke-40 dan 48 untuk melengkapkan kemenangan bergaya skuad hoki negara.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ysia-bedal-oman-7-0 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|