View: 581|Reply: 0
|
Mahu terus harumkan negara
[Copy link]
|
|
JUWAIDI dan Rachel dinobatkan atlet terbaik negara di Sukan Sea Hanoi.
Hanoi: Bukan masa untuk berasa selesa, tapi mahu terus harumkan nama negara. Itu janji yang diberikan dua atlet terbaik negara di Sukan Sea Vietnam 2021 Juwaidi Mazuki (memanah) dan Rachel Yeoh (gimnastik).
Menurut Juwaidi yang menggondol dua emas dalam acara compound individu dan berpasukan campuran, dia terharu dan berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) di atas pengiktirafan berkenaan.
"Gelaran ini akan menaikkan lagi semangat saya untuk buat lebih baik selepas ini dan sentiasa memantapkan diri dalam latihan. Pencapaian saya di sepanjang Sukan Sea kali ini boleh dikatakan terbaik terutama bagi acara individu yang kali pertama saya meraih emas. Tercapai juga sasaran saya kali ini.
"Semuanya ini saya rasa disebabkan saya sudah mula menjadi tenaga pengajar (jurulatih separuh masa). Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memanah compound tiada dalam program Olimpik MSN ia memberi peluang untuk saya menceburi bidang kejurulatihan.
"Dari situ saya lebih faham untuk mengawal permainan dan nampak dari perspektif jurulatih. Ia banyak membantu saya dari segi kualiti panahan dan ditambah dengan pengalaman Sukan Sea sebelum ini," katanya.
MSN juga memberi pengiktirafan kepada Juwaidi kerana bijak membahagikan masa antara pekerjaan dan latihan yang langsung tidak menjejaskan prestasinya di Hanoi.
"Saya memang mempunyai perniagaan barang alatan sukan memanah di Alor Gajah dan mempunyai cawangan di Kuala Lumpur. Perkara ini memang kena urus dengan baik," kata atlet berusia 32 tahun itu.
Sementara itu, Rachel yang dibelenggu dengan kecederaan teruk di kedua-dua lututnya pada 2017 di Kejohanan Terbuka Gimnastik Artistik Taiwan membuktikan bahawa dia mempunyai semangat melawan luar biasa.
Atlet yang meraih dua emas dalam acara palang bertingkat dan batang titian itu mengakui tidak jangka dipilih sebagai salah seorang atlet terbaik kontinjen negara di Sukan Sea 2021.
"Saya berasa gembira dan terkejut dengan pengiktirafan ini. Hasrat saya untuk datang ke sini adalah mahu mengharumkan nama negara sahaja.
"Saya memang berazam untuk melakukan yang terbaik, ini satu penghormatan buat saya. Ia menyuntik keyakinan saya untuk beraksi lebih baik di kejohanan akan datang. Memang amat berbaloi selepas berehat agak panjang akibat kecederaan lutut yang serius sebelum ini," kata atlet berusia 23 tahun itu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... rus-harumkan-negara |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|