Penduduk di Wajo, Sulawesi Selatan kecoh dengan penularan video menunjukkan sepasang remaja lelaki dan perempuan melangsungkan perkahwinan.
Menurut sumber, pasangan remaja itu masih belajar di sekolah menengah.
Tangkap layar video yang menunjukkan pasangan pengantin remaja dalam majlis perkahwinan mereka di Sulawesi Selatan, Indonesia. - AGENSI
Video perkahwinan Nikma Sari Saskia, 16 dan Muh Ferdi, 15, tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Keterangan video itu menyatakan pasangan remaja berkenaan merupakan pengantin termuda di Indonesia, malah paling tular pada tahun ini.
Seorang daripada sahabat pengantin perempuan, Muhammad Aris mengesahkan perkahwinan tersebut sudah berlangsung dan pasangan pengantin itu masih belajar di sekolah menengah.
“Nikma berada di Kelas Tiga, manakala Ferdi pula Kelas Dua,” katanya kepada media seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Menurut Aris, sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan, pasangan remaja itu sudah dijodohkan oleh ibu bapa mereka.
Hal ini kerana, pasangan remaja berkenaan mempunyai pertalian keluarga dan mereka mahu mengukuhkan perhubungan tersebut.
“Mereka sudah dijodohkan, satu kampung juga tahu mereka ada pertalian darah,” ujarnya.
Dalam pada itu, video tersebut mendapat reaksi masyarakat yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan perkahwinan di bawah umur.
Kebanyakannya menggesa supaya remaja itu menghabiskan pelajaran dan mencari pekerjaan sebelum menempuh alam perkahwinan.
Malah, ada yang beranggapan mereka hanya digunakan oleh keluarga masing-masing demi kepentingan sendiri.
Sumber: Utusan |