|
CHICAGO, ILLINOIS – Seorang lelaki dari negeri Illinois, Amerika Syarikat mendedahkan bahawa dia telah dibuli dengan teruk seumur hidupnya kerana dilahirkan dengan keadaan tidak mempunyai rahang, lapor laman berita India Today semalam.
Joseph Williams, 41, dilahirkan dengan gangguan kongenital yang jarang berlaku menyebabkan dia mengalami sindrom otofacial yang disebabkan oleh gen yang bermutasi.
Keadaan tersebut menyebabkan William tidak boleh bercakap atau makan menggunakan mulutnya. Dia terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dan bergantung kepada tiub untuk makan.
Bagaimanapun, Williams yang sebelumnya hidup tanpa semangat akhirnya telah menemui cinta sejati.
Menurut lelaki itu, dia tidak menyangka berjaya menemui seseorang yang akan menyayanginya dan sebelum ini beranggapan bahawa dia akan hidup bujang selama-lamanya.
“Bercinta adalah sukar bagi saya kerana kurang berkeyakinan dan rasa tidak bernilai. Namun, apabila saya mula yakin bahawa saya layak mendapat sesuatu yang lebih, saya akhirnya berjaya menemui isteri,” katanya kepada akhbar New York Post.
Williams memaklumkan bahawa dia bertemu isterinya, Vania pada 2019.
“Pada awalnya, kami hanya berkawan, namun akhirnya berpacaran dan jatuh cinta.
“Kami berkahwin pada 2020. Saya pasti orang tidak akan pernah menjangkakan saya akan berkahwin. Sejujurnya, saya juga tidak pernah menyangka.
“Saya faham bahawa saya berbeza dan sesetengah orang akan menganggap saya hodoh. Namun, saya masih seorang yang mempunyai hati, perasaan dan fikiran,” ujarnya. – Agensi
https://www.kosmo.com.my/2022/05/25/lelaki-lahir-tanpa-rahang-temui-cinta-sejati/
|
|