View: 921|Reply: 0
|
[Tempatan]
Pakar antarabangsa bantu perkasa pengurusan buaya di Sarawak
[Copy link]
|
|
Pakar antarabangsa bantu perkasa pengurusan buaya di Sarawak
FOTO HIASAN
Kuching: Kerajaan Sarawak akan mendapatkan kerjasama pakar buaya dari negara luar bagi memperkasakan pengurusan reptilia ganas itu di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan pakar buaya dari Australia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat serta dari Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) perlu bagi menangani ancaman buaya yang sering mencetuskan kebimbangan penduduk yang tinggal di tebing sungai.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, sementara itu ketika ini kerajaan Sarawak menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) meneruskan usaha menguruskan kelestarian populasi buaya liar di negeri ini.
"Bagi tujuan itu, SFC menyediakan Pelan Pengurusan Buaya Sarawak Fasa Satu (2016 hingga 2020) dan diteruskan berdasarkan tiga objektif utama.
"Objektif itu ialah meneruskan usaha pemuliharaan buaya liar; mengeratkan keharmonian antara manusia dan buaya bagi menjamin keselamatan penduduk setempat; dan melakukan kajian terperinci tentang faedah buaya lestari," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.
Awang Tengah berkata, selain itu beberapa tindakan lain turut diambil dalam pengurusan reptilia itu antaranya bekerjasama dengan pengusaha ternakan buaya dan menambah bilangan santuari buaya di seluruh Sarawak untuk tujuan pemuliharaan dan eko-pelancongan.
"Tindakan lain yang diambil termasuk menambah bilangan zon buaya untuk memastikan keselamatan penduduk setempat dan mengeluarkan permit penuaian serta memburu buaya," katanya.
Konflik antara buaya dan manusia semakin membimbangkan di Sarawak susulan beberapa kejadian serangan reptilia itu berlaku.
Terbaru, dua serangan buaya berlaku minggu lalu terhadap penduduk di Lundu dan di Telaga Air, di sini.
Dalam kejadian di Lundu, hanya kepala mangsa serangan buaya ditemui hanyut dibawa arus di Sungai Ahong, Kampung Kangka 19 Mei lalu.
Kepala lelaki malang itu, Sebarang Bingkok, 56, ditemukan ahli keluarganya kira-kira 5 petang selepas disedari hilang pada 3 petang hari yang sama.
Sehari selepas itu, seorang kanak-kanak lelaki Mohamad Adammi Mokhtar, 7, pula hilang selepas disambar buaya dalam kejadian di Kampung Nyabut, Telaga Air.
Mangsa dikatakan disambar buaya ketika sedang duduk bersama nenek dan kakaknya di tebing sungai kira-kira 8.30 pagi.
Kedua-dua mangsa masih belum ditemui hingga kini dan pemburuan buaya dilancarkan di Kampung Nyabut bagi mengesan reptilia yang menyambar mangsa.
Seekor buaya berukuran kira-kira 4.5 meter panjang berjaya ditangkap semalam, namun selepas dibedah, tiada bahagian tubuh manusia ditemui di dalam perutnya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-buaya-di-sarawak
|
|
|
|
|
|
|
| |
|