|
Kes HFMD tertinggi di lima negeri termasuk Selangor
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Selangor mencatatkan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) paling tinggi dengan merekodkan 16,286 kes atau 28.32 peratus dalam tempoh lima bulan ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata selain Selangor, empat negeri lain turut mencatatkan bilangan kes yang tinggi bagi penyakit berjangkit itu. iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan sebanyak 7,298 kes atau 12.69 peratus, Perak (5,045 kes atau 8.77 peratus), Kelantan (4,194 kes atau 7.29 peratus) dan Sabah (3,829 kes atau 6.66 peratus).
"Kes paling banyak dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu 52,846 kes atau 92 peratus, sementara kumpulan umur enam hingga 12 tahun adalah sebanyak 3,741 kes atau tujuh peratus.
"Ini menunjukkan kumulatif kejadian wabak HFMD dari awal tahun ini sehingga semalam adalah sebanyak 1,370 dengan bilangan kes sebanyak 5,203 kes atau merangkumi 9.05 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dan selebihnya, kes sporadik," katanya pada sidang media khas yang berlangsung secara maya dari Geneva, Switzerland, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan sebanyak 57,510 kes HFMD dilaporkan di negara ini dari tempoh awal tahun sehingga semalam.
Sementara, jumlah keseluruhan kes pada 2021 adalah sebanyak 4,239 kes dan 2020 sebanyak 17,235 kes.
Khairy berkata, tiga negeri menyumbang kepada bilangan wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya ialah 479 wabak atau 34.9 peratus, Selangor (161 wabak atau 11.8 peratus dan Perak 151 wabak atau 11 peratus.
"Daripada 1,370 wabak yang dilaporkan, kebanyakan jangkitan berlaku di taska, tabika atau prasekolah dengan sebanyak 823 wabak atau 61 peratus.
"Rumah persendirian pula merekodkan sebanyak 482 kes atau 35 peratus, dan 41 kes atau tiga peratus dicatatkan di pusat jagaan," katanya.
Beliau berkata, sehingga semalam, hanya dua kanak-kanak yang disahkan
HFMD mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di wad rawatan rapi (ICU).
"Kedua-dua kes ini positif virus enterovirus 71 (EV71) dengan semalam, kanak-kanak pertama sudah beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi tetapi masih dipantau di ICU.
"Sementara kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil," katanya.
Beliau berkata, survelan virus penyebab HFMD mendapati virus enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A16 (CA16) dan Coxsackie A6 (CA6) adalah virus yang predominant (utama) yang berada dalam persekitaran Malaysia.
"Justeru Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) diberikan kuasa untuk mengambil langkah kawalan dan pencegahan bagi HFMD antaranya, melakukan pemeriksaan premis, penutupan premis, membasmi kuman di premis, membuat persampelan klinikal dan pendidikan kesihatan.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... i-termasuk-selangor
|
|