ISTANBUL: Seorang anggota terkemuka kumpulan Daesh yang dipercayai ketua kumpulan jihad itu berjaya ditangkap anggota polis di Turki hari ini.
Bagaimanapun, menurut pegawai yang enggan dikenali, tiada maklumat jelas mengenai penangkapan suspek seperti didakwa laporan media bahawa ia adalah pemimpin Daesh, Abu Hassan al-Hashimi al-Qurashi.
Namun, menurut sumber, seorang anggota kumpulan itu telah ditangkap minggu lalu.
Abu Hassan dinamakan ketua kumpulan Daesh pada Mac lalu, hanya lebih sebulan selepas pendahulunya, Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurashi, meletupkan dirinya semasa serbuan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di rumahnya di wilayah barat laut Syria, Idlib.
Pihak berkuasa Turki setakat ini tidak mengesahkan laporan media bahawa Abu Hassan telah ditangkap.
Iraq mengumumkan kemenangan menentang Daesh pada akhir 2017 selepas tiga tahun pertempuran sengit yang disokong oleh pasukan separa tentera dan pakatan udara yang diketuai AS.
Namun, Daesh masih melakukan serangan langgar lari, terutamanya di kawasan padang pasir yang luas di utara dan barat Iraq berhampiran sempadan dengan Syria. - AFP