View: 688|Reply: 0
|
Di Giannantonio sambar petak hadapan GP Itali
[Copy link]
|
|
Di Giannantonio menampilkan tunggangan mantap pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello bagi menyambar petak hadapan.
SAN PIERO – Pelumba pasukan Gresini Racing, Fabio Di Giannantonio melakar kejutan apabila meraih petak hadapan pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello sebentar tadi.
Lebih manis, ia merupakan petak hadapan pertama yang diraih pelumba Itali itu dalam kelas MotoGP selepas berjaya melakukan catatan masa terpantas 1:46.156 saat (s).
Meskipun diberi tentangan sengit oleh pelumba-pelumba lain sepanjang sesi kelayakan itu, namun Di Giannantonio memastikan petak hadapan menjadi miliknya apabila mencatat masa terpantas pada penghujung saingan.
Dia nyata gembira dengan keputusan tersebut, lebih-lebih dapat melakukannya di laman sendiri meskipun berdepan situasi agak sukar gara-gara cuaca tidak menentu pada sesi kelayakan itu.
“Perlumbaan di laman sendiri dan hari cukup sempurna buat saya. Saya dapat rasakan satu perasaan yang cukup hebat kerana ini adalah petak hadapan pertama saya dalam MotoGP bersama jentera Ducati.
“Keadaan hari ini agak rumit kerana perubahan cuaca tetapi saya tetap komited serta fokus untuk lakukan catatan masa terpantas. Saya sangat gembira dan puas dengan keputusan ini,” katanya sejurus tamat saingan.
Mengiringi Di Giannantonio di barisan hadapan pada perlumbaan sebenar esok adalah dua pelumba pasukan Mooney VR46 Racing, Marco Bezzecchi dan Luca Marini.- KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2022/05 ... k-hadapan-gp-itali/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|