View: 644|Reply: 0
|
[Politik]
Tahanan SOSMA: Keputusan bekas Ketua UMNO saman kerajaan 24 Ogos
[Copy link]
|
|
Tahanan SOSMA: Keputusan bekas Ketua UMNO saman kerajaan 24 Ogos
Khairuddin hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tujuh tahun lalu atas tuduhan cubaan melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, tidak bersandarkan kepada lima laporan polis di luar negara semata-mata.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud yang mengendalikan kes berkenaan, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berkata pertuduhan kes berkenaan di Mahkamah Majistret pada 2015, sebaliknya turut dibuat mengikut keterangan pihak lain sebelumnya.
Laporan itu dibuat Khairuddin di Perancis, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura kerana berpendapat pihak berkuasa Malaysia tidak mengambil tindakan efektif terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain negara terbabit punya kaitan dengan syarikat 1MDB.
"Saya juga tidak bersetuju dengan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla (peguam Khairuddin) yang mencadangkan pertuduhan itu dibuat kerana melakukan sabotaj, sebaliknya ia adalah cubaan melakukan sabotaj.
"Saya juga tidak pasti dengan soalan peguam itu bahawa ada kenyataan dari pihak perbankan untuk buktikan ada sabotaj atau cubaan sabotaj dalam kes itu," katanya ketika pemeriksaan balas oleh pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi di hadapan Hakim Quay Chew Soon.
Pada Mei 2018, Khairuddin selaku plaintif memfailkan saman terhadap lapan defendan susulan penahanan dan pendakwaannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Defendan pertama hingga keempat adalah dua pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Asisten Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintenden C Muniandy; Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Habibi Majinji dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Turut dinamakan adalah Masri; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan kerajaan Malaysia, selaku defendan kelima hingga kelapan.
Khairuddin mendakwa ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan pada 23 September, tetapi ditahan semula mengikut SOSMA.
Dia kemudian dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L SOSMA atas dakwaan cuba sabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes itu terhadap plaintif sebelum Khairuddin dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan.
Ketika pemeriksaan balas oleh Mohamed Haniff, Masri yang juga saksi terakhir, berkata beliau mendapat arahan daripada Timbalan Peguamcara Negara 1 ketika itu, Tun Majid Tun Hamzah untuk menandatangani pertuduhan ke atas Khairuddin.
Haniff: Maka, individu yang boleh memaklumkan kepada mahkamah apa yang mendorong kepada keputusan untuk membuat pertuduhan itu adalah Tun Majid?
Masri: Ya.
Haniff: Apabila kes itu digugurkan pada 2017, Datuk terbabit (dalam keputusan itu)?
Masri: Saya tidak tahu siapa buat keputusan kerana masa itu saya sudah dipindahkan (ke tempat lain).
Haniff: Pendakwaan dilakukan adalah suatu pendakwaan curang bukan dilakukan pegawai pendakwa raya, tetapi atas arahan pucuk pimpinan kerajaan pada masa itu. Tahu atau tidak?
Masri: Saya tidak tahu sama ada wujud atau tidak arahan kerajaan, selain arahan pendakwa raya.
Pihak defendan kemudian menutup kes itu selepas tiga saksinya dan dua saksi plaintif dipanggil memberi keterangan. Hakim menetapkan 13 dan 27 Julai ini, masing-masing untuk hujahan bertulis dan hujahan balas, manakala keputusan kes ditetapkan pada 24 Ogos menerusi aplikasi Zoom.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... an-kerajaan-24-ogos
|
|
|
|
|
|
|
| |
|