View: 453|Reply: 0
|
[Politik]
Jangan jual nama rakyat untuk kepentingan peribadi - Nazri Aziz
[Copy link]
|
|
UALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan pihak yang menggesa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera sebagai menjual nama rakyat demi kepentingan peribadi.
Mohamed Nazri menegaskan, gesaan PRU15 diadakan ketika negara berdepan inflasi jelas membuktikan ada pihak bersikap mementingkan diri sendiri dan membelakangkan rakyat.
Tegas beliau, dalam keadaan negara sedang berdepan inflasi, ahli politik sepatutnya lebih mengutamakan kepentingan rakyat dengan bersama mencari jalan untuk memulihkan ekonomi negara.
"Berhenti sekejap politik dan fikirkan kepentingan rakyat. Sama-sama bantu pulihkan ekonomi negara demi untuk rakyat. Bila ekonomi pulih, bolehlah minta bubar dan adakan PRU.
"Masa bercakap bukan main lagi sebut berjuang untuk rakyat. Sekarang rakyat sedang susah, sama-samalah bantu pulihkan ekonomi, bukan desak PRU sebab gilakan jawatan.
"Mereka yang desak untuk bubar Parlimen sebenarnya hipokrit, hanya jual nama rakyat untuk kepentingan peribadi, cuma mahu kedudukan dan kuasa," katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri juga membidas sikap beberapa pihak dalam partinya yang sering membuat kenyataan agar Parlimen segera dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diadakan.
Tegas beliau, sikap pihak ini agak pelik kerana perdana menteri sedia ada disokong oleh parti lain termasuk pembangkang namun pemimpin UMNO seolah-olah mahu menjatuhkan kerajaan.
"Bagi saya, pihak yang mahu PRU15 diadakan segera ini tidak menganggap inflasi bukan satu perkara penting dan tidak melihat ia satu bebankan kepada rakyat.
"Ini jelas pentingkan diri sendiri. Saya tidak faham kenapa mahu PRU15 ketika inflasi meningkat, mana yang selalu sebut pentingkan rakyat sebelum ini?
"Paling saya tidak faham bila ahli Parlimen parti lain termasuk pembangkang memberi sokongan kepada Ismail Sabri, pemimpin UMNO pula yang tidak mahu sokong," katanya lagi.
Mohamed Nazri menjelaskan beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu wawancara dengan akhbar kewangan Nikkei sebelum ini bahawa beliau akan menunggu “masa yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen.
Beliau berpendapat, semua ahli politik tidak kira kerajaan atau pembangkang perlu mengutamakan kesusahan yang dihadapi rakyat buat masa ini.
"Saya setuju dengan Perdana Menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat.
"Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.
"Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU," katanya.
https://www.astroawani.com/berita-politik/jangan-jual-nama-rakyat-untuk-kepentingan-peribadi-nazri-364402
|
|
|
|
|
|
|
| |
|