View: 332|Reply: 0
|
[Dunia]
Pengeluaran di Korea Selatan terganggu akibat mogok pemandu trak
[Copy link]
|
|
Pengeluaran di Korea Selatan terganggu akibat mogok pemandu trak
Perkarangan kilang membuat kereta, Kia Motors di Gwangju, Korea Selatan di penuhi kereta yang tidak dapat dihantar berikutan mogok pemandu trak. - Foto REUTERS
SEOUL: Mogok ribuan pemandu trak di Korea Selatan memasuki hari ketiga hari ini bagi membantah lonjakan mendadak kos bahan api dan isu bayaran bagi perkhidmatan mereka.
Tindakan itu mengganggu pengeluaran, memperlahankan aktiviti di pelabuhan dan menimbulkan risiko baharu kepada rantaian bekalan global.
Kementerian pengangkutan berkata, kira-kira 7,200 atau 30 peratus daripada anggota kesatuan Solidariti Pemandu Lori Kargo terbabit dalam mogok berkenaan.
Seorang pegawai kesatuan memaklumkan, jumlah anggota yang mengambil bahagian lebih tinggi dan mereka turut disertai pemandu trak bukan ahli kesatuan.
Pengeluar keluli Korea Selatan, POSCO, berkata ia tidak dapat menghantar kira-kira 35,000 tan produk keluli dari dua lojinya setiap hari sejak mogok itu bermula, bersamaan kira-kira satu pertiga daripada penghantaran hariannya dari loji berkenaan.
Sebuah kumpulan industri auto Korea Selatan yang menyifatkan mogok itu sebagai 'sangat mementingkan diri', berkata tindakan itu akan terus menekan sektor yang terjejas disebabkan kekurangan cip pada peringkat global.
Agensi berita Yonhap melaporkan, Hyundai Motor Co berdepan beberapa gangguan pengeluaran di kilangnya di Ulsan kerana pemandu trak enggan menghantar komponen.
Seorang pegawai kementerian pengangkutan berkata terdapat penurunan dalam penghantaran beberapa produk termasuk keluli dan simen, namun negara itu belum lagi berdepan 'gangguan yang ketara dalam logistik' dan kerajaan sedang bertemu dengan pegawai industri berkaitan untuk mengelakkan krisis sedemikian.
Seorang pegawai Majlis Perkapalan Korea berkata kesan mogok oleh pemandu trak itu dapat dirasai di pelabuhan seluruh Korea Selatan.
"Hanya terdapat sedikit kargo yang masuk ke pelabuhan ketika ini. Sehingga semalam, keadaan mungkin kelihatan baik kerana beberapa kargo yang diatur sudah dihantar tetapi realitinya, kini adalah masa yang sangat sukar," katanya.
Pihak Berkuasa Pelabuhan Busan berkata pasukan tindak balas kecemasan disediakan sejak Isnin lalu dan pihaknya menyediakan ruang simpanan tambahan di luar pelabuhan.
Kadar penggunaan kontena pelabuhan ketika ini adalah 76.3 peratus, meningkat daripada 73.9 peratus dua hari lalu.
Pemandu trak, iaitu kontraktor yang bekerja sendiri di Korea Selatan, sedang menuntut kenaikan gaji dan janji supaya langkah kecemasan menjamin kadar tambang, yang diperkenalkan ketika pandemik dan akan tamat tempoh Disember ini, akan dilanjutkan.
Mereka juga mahu ia terpakai kepada rangkaian trak yang lebih luas, bukan hanya trak kontena dan simen. - REUTERS
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... -mogok-pemandu-trak
|
|
|
|
|
|
|
| |
|