KUALA LUMPUR: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menjelas kontrak dan semua kos penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperoleh dan ditanggung sepenuhnya oleh Ennova Sdn Bhd (Ennova).
Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman, berkata Ennova juga akan menanggung sewa setiap tiang yang didirikan mengikut harga sewa yang dipersetujui antara pihaknya dan DBKL.
"SCIB juga tidak mengetahui sebarang pembiayaan atau pengaturan pembiayaan untuk kontrak oleh DBKL," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SCIB melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd (SCIBP), menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova
Kontrak itu adalah bagi perkhidmatan kejuruteraan projek untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL dijangka bermula pada Jun 2022 dan berakhir pada Mei 2023.
2
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman.
Rosland berkata, skop kerja SCIBP termasuk tetapi tidak terhad kepada pembersihan tapak, penggalian dan struktur tapak konkrit bertetulang, meletakkan semua konkrit tetulang, bolt dan nat, dan plat pada semua struktur keluli lembut, dengan tiang, kelengkapan dan aksesori yang akan dibekalkan oleh Ennova.
"Skop ini juga termasuk kerja-kerja pagar perimeter berantai, pagar keluli lembut dan pembinaan; kerja tanah, meratakan, menetapkan, membuat titik, dan kerja lain yang berkaitan; kerja-kerja mekanikal dan kejuruteraan seperti pendawaian, kotak suis, penyambungan kepada konduit, kabel bumi tanah dan rem serta pemasangan monopole," katanya.
Kelmarin, Ennova menyatakan penggantian tiang lampu konvensional di sekitar bandar raya Kuala Lumpur bukan hanya bakal memperkukuhkan rangkaian perkhidmatan 5G, malah menjadi sumber kewangan kepada DBKL.
Syarikat itu berkata, tiang lampu sedia ada akan digantikan dengan tiang lampu berintegrasi yang juga boleh menampung 'repeater' yang diperlukan untuk meluaskan jaringan telekomunikasi terutama teknologi 5G.
Syarikat beroperasi sejak 2011 itu mendapat kebenaran DBKL untuk melakukan kerja penggantian terbabit dengan kos dan pelaburan ditanggung pihak syarikat bagi tempoh lima tahun dengan pembaharuan kebenaran untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi selepas itu.