Sebagai orang dewasa, sepatutnya menunjukkan tingkah laku yang baik dan contoh kepada orang lain serta tidak sesekali menyalahgunakan kelebihan yang ada pada diri untuk meraih publisiti murahan.
Baru-baru ini, Liana Rosli, memuat naik video empat selebriti dan usahawan iaitu Ifa Raziah, Hasmiza Othman, Liana Rosli dan Cheta Pot Pet menepuk punggung masing-masing, mengundang kecaman netizen.
"Punggung siapa yang paling mencengkam sekali, kita tengok! Jadi siapa nak dapatkan punggung paling 'aum' sekali, korang kena datang," kata Liana.
Difahamkan, video itu dirakam selepas acara sidang media Minggu Usahawan Negara 2022 di Malaysian Grand Bazaar@Lalaport BBC yang berlangsung pada 24-27 Jun lalu.
Sedar video itu dikecam teruk oleh netizen, tetapi Ifa Raziah menjelaskan, apa yang dilakukan itu hanya sekadar tepuk manja di kalangan kawan-kawan dan menempelak netizen kononnya mereka tidak pernah berbuat demikian.
"Itu namanya tepuk-tepuk manja dalam kalangan kawan-kawan yang lama tak jumpa. Tepuk amai-amai manja. Macamlah mereka (netizen) tak pernah bertepuk, gurau senda dengan kawan mereka. Lagipun semua kawan-kawan dan kami wanita. Lainlah kalau lelaki atau mana-mana jantan tepuk, itu lain cerita.
"Bila Liana buat macam tu, kami tak ada apa nak marah pun. Kami positif saja sebab kami berkawan dan tak pernah saling menjatuhkan. Saya tahu Liana akan muat naik, tular dan mengundang caci maki serta marah.
"Ini pun hiburan juga. Kalau tak, tak adalah hiburan. Netizen ni, cakap tak suka, siap maki hamun tetapi tengok juga. Mereka 'follow' juga nak tahu apa saya buat. Setiap hari jumlah yang menonton itu naik.
"Apa yang elok saya cakap dan buat, tak nak pula tularkan, Yang 'bodoh' macam ini pula ditularkan. Mereka pula yang tekanan tengok," katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas, Amin atau Mohamad Amirul Amin Maulana, 31, memberi peringatan kepada empat individu yang berkelakuan melampau itu bahawa apa yang mereka lakukan itu mengundang azab daripada Allah SWT.
"Bertepuk tampar punggung di khalayak awam. Ramai yang menantikan, ramai saksikan. Boleh jadi trend ka selepas ni. Ramai tengok, macam syok ja. Jangan sampai macam tu sekali.
"Yang buat ni bukan anak orang, tapi mak-mak orang yang buat perangai macam ni. Kadang-kadang tak fikir ka fasal maruah diri, tak fikir ka fasal sensitiviti agama dan tak fikir ka anak-anak kecil kita tengok video macam ni?
"Kita pun kadang mungkin dibeli dengan kekayaan dia. Dia suka puji puja, kita sokong dia. Kita tak pernah rasa nak boikot dia. Sebab apa? Sebab kita suka tengok kekayaan orang macam ni.
"Tak boleh kita meniaga jual badan kita. Berhentilah dari perangai macam ni. Takut anak-anak kita pun ikut benda sama. Moga-moga Allah pelihara kita. Jangan disebabkan benda macam ni, turun pula bala bencana," katanya.
Sumber: Harian Metro