Seorang gelandangan tidak mempunyai pilihan selain tinggal bersama 47 kucing peliharaannya di dalam sebuah kereta di kawasan rehat Interstate 35 berhampiran Harris, Minnesota.
Lapor Daily Mail, kesemua kucing yang terdedah dengan cuaca panas terik itu berjaya diselamatkan selepas disedari anggota polis yang melalui kawasan tersebut.
Kredit foto: Animal Humane Society
Penyiasat Animal Humane Society, Ashley Pudas berkata, pemilik itu tidak mahu meninggalkan kucingnya bersendirian dan mereka tinggal bersama dalam tempoh agak lama di hentian tersebut dalam cuaca panas
“Cuaca pada bulan Jun adalah panas terik dan lembap. Gelandangan itu tiada rumah mahupun pendingin hawa. Dia terpaksa tinggal di dalam kereta bersama kucing kerana tidak tahu arah hendak dituju.
“Inilah realiti yang dihadapi oleh masyarakat sehingga seorang pegawai polis prihatin mengetuk cermin kereta berkenaan dan membantu lelaki itu,” katanya.
Kredit foto: Animal Humane Society
Pudas berkata, ejen penyiasat persatuannya membawa kesemua haiwan itu berjumpa doktor pakar haiwan yang memeriksa setiap kucing, memberikan vaksinasi, pemakanan seimbang dan pemulihan tingkah laku.
Jelasnya, nasib 47 kucing itu kini sudah berubah dan mereka mempunyai tempat tidur sendiri yang lebih selesa, boleh bermain dengan bebas dan makan.
“Ini hanyalah sebuah permulaan bagi peluang kedua selama 47 saat yang dijanjikan. Kucing itu akan disterilkan dan bersedia menerima pemilik baharu,” katanya.
Kredit foto: Animal Humane Society
Sebelum ini, pemilik kucing itu sudah menyerahkan 14 daripada 47 kucing yang tinggal bersamanya di dalam kereta terbabit.
Sumber: Utusan Malaysia |