|
Peng Soon (kiri) yakin pemain lain boleh bantu skuad negara capai sasaran di Birmingham.
KUALA LUMPUR: Tiada gunanya terlalu memikirkan apa yang telah berlaku. Sebaiknya pemain badminton lain menonjolkan diri dan memanfaatkan situasi tersebut sebaiknya.
Di atas kertas Malaysia berkemungkinan sekali lagi terlepas emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England bulan depan, susulan penarikan diri jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.
Pada edisi sebelum ini di Gold Coast 2018, Malaysia gagal memenangi emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara tersebut apabila tewas kepada India 1-3.
Bagaimanapun, pemain beregu campuran berpengalaman Chan Peng Soon menyeru rakan sepasukannya supaya tidak terganggu dengan tindakan mengejut Zii Jia itu dan kekal fokus pada misi mereka di Birmingham.
Malah Peng Soon yang akan bergandingan dengan Cheah Yee See, optimis pemain lain mampu membantu pasukan negara mencapai sasaran itu pada temasya sukan yang dianjurkan setiap empat tahun itu.
"Kita tidak boleh bergantung hanya pada Zii Jia kerana kita mempunyai pemain lain terutama pemain beregu yang boleh menyumbang emas.
"Saya secara peribadi percaya Sukan Komanwel penting kerana ia dianjurkan setiap empat tahun. Ramai pemain di luar pun tidak sabar untuk bertanding di temasya sukan itu," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, hari ini.
Rabu lepas, Zii Jia menerusi sebuah video yang dikongsikan kepada media memaklumkan menarik diri daripada Sukan Komanwel kerana kesukaran menangani jadual yang padat, selain mahu memberi fokus pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22-28 Ogos ini.
Peng Soon yang juga pemenang perak Olimpik Rio 2016 itu, menekankan bahawa penting bagi mereka untuk mengungguli acara berpasukan campuran yang akan merangsang momentum pada acara individu selepas itu.
Mengenai persediaannya untuk Terbuka Malaysia 2022 minggu depan, pemain berusia 34 tahun itu berkata gandingannya bersama Yee See berjalan lancar setakat ini.
Yee See turut berpendapat kombinasi mereka kian serasi dalam menghadapi kejohanan ketiga mereka itu, sejak penampilan sulung di Masters Indonesia awal bulan ini.
Mengenai keputusan Zii Jia, beliau berkata ia tidak melemahkan semangat kem badminton negara untuk mendapatkan keputusan positif dan Malaysia masih pasukan yang digeruni di Birmingham.
Peng Soon-Yee See akan memulakan kempen Terbuka Malaysia dengan menentang beregu ranking ke-19 dunia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia. Terbuka Malaysia akan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai ini.
Sementara itu, pemain beregu wanita negara Valeree Siow berkata beliau tidak menetapkan sebarang sasaran pada Terbuka Malaysia memandangkan ia kejohanan yang mencabar, namun berharap untuk meraih pengalaman.
"Bermain dalam kejohanan bertahap tinggi sukar bagi saya. Sebelum ini prestasi kami kurang memuaskan tapi saya cuma berharap kami akan mencuba yang terbaik," katanya.
Valeree dan pasangan beregunya Low Yeen Yuan akan berdepan beregu nombor 24 dunia Isabel Lohau-Linda Efler dari Jerman dalam pusingan pertama. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/sukan ... 599/lupakan-zii-jia |
|
|
|
|
|
|
| |
|