|

VEERAPAN (kiri) dan Azuri (dua dari kiri) memeriksa premis di Kawasan Perindustrian Senawang, semalam. - Foto JAS Negeri Sembilan
SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengeluarkan 20 kompaun ke atas kilang bernilai kira-kira RM40,000 dalam operasi tiga hari, berakhir semalam.
Pengarahnya, Azuri Azizah Saedon, berkata Ops Gempur 2022 itu memeriksa 17 premis di Negeri Sembilan dan mengeluarkan 11 notis arahan.
Beliau berkata, premis industri itu dikehendaki melaksana dan membuktikan langkah pembaikan diambil dengan segera.
Katanya, premis yang dikompaun dan menerima notis akan dipantau dengan lebih kerap supaya mematuhi Akta Alam Sekeliling 1974.
"Penguatkuasaan tegas bagi memastikan semua premis di negeri ini mematuhi undang-undang.
"Alam sekitar perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana ini membabitkan kepentingan rakyat dan negara," katanya semalam.
Azuri berkata, 15 penguat kuasa terbabit dalam operasi berkenaan dan tumpuan diberikan di Kawasan Perindustrian Senawang, di sini.
Beliau berkata, Ops Gempur kesinambungan daripada Ops Burung Hantu yang diadakan pada sebelah malam.
"Objektif utama untuk memastikan industri sentiasa mematuhi kehendak perundangan alam sekitar, semasa menjalankan operasi mereka," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, turut hadir bersama dalam operasi berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berit ... ng-dapat-20-kompaun |
|