|
NURUL Izzah muncul pelumba trek wanita pertama memenangi pingat emas di ACC. FOTO ARKIB NSTP
Kuala Lumpur: Bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meletakkan sasaran memecahkan rekod kebangsaan acara 500 meter (m) ujian masa, pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual membuka tirai pada 28 Julai ini.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata, sasarannya untuk mencatatkan masa di bawah 35 saat, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan itu yang dipegang bekas ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa.
Fatehah mencipta rekod kebangsaan itu dengan catatan 34.542 saat (s) pada penampilannya di Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.
Jelas Nurul Izzah, ia adalah impian besarnya di Birmingham 2022 selepas merekodkan catatan masa 34.668s pada Kejohanan Trek Kebangsaan pada Disember tahun lalu.
"Saya harap pada temasya itu (Sukan Komanwel) saya dapat mencapainya (rekod kebangsaan). Saya tidak menyasarkan pingat pada temasya itu, jadi jika dapat memecahkan rekod kebangsaan sudah memadai," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, atlet kelahiran Sungai Petani, Kedah itu memaklumkan, dia kini sedang giat melakukan latihan sepenuh masanya di Velodrom Nasional, Nilai di bawah kendalian jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley.
"Sekarang ini saya kerap berulang-alik ke sana apabila ada sesi di Velodrom untuk memperbaiki selain memantapkan teknik kayuhan di bawah Beasley," katanya.
Nurul Izzah yang diberi jolokan 'Azizulhasni Awang versi Wanita', dalam masa sama menzahirkan tekad dan kesediaannya membawa harapan negara untuk mempamerkan kayuhan cemerlang pada temasya terbabit.
"Sedikit gementar, namun ia adalah salah satu pembakar semangat buat saya kerana semua orang sudah meletakkan harapan terhadap saya," katanya.
Pada 19 Jun lalu, Nurul Izzah mencatat nama sebagai pelumba wanita Malaysia pertama memenangi pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi apabila mengungguli acara 500m ujian masa dengan catatan masa 35.499s.
Beliau turut menambah koleksi pingat peribadinya apabila meraih pingat gangsa pada acara keirin wanita dalam kejohanan di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi itu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -di-birmingham-2022 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|