MAJLIS penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah).
KUALA LUMPUR: Kontinjen Sukan Komanwel Birmingham 2022 diletakkan sasaran baharu enam pingat emas pada temasya empat tahun sekali itu yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan sasaran berkenaan dengan enam sukan diletakkan sebagai prospek utama bagi menjelmakan kilauan pingat emas diimpikan.
"Berdasarkan perkembangan terkini prestasi atlet negara, enam pingat emas yang disasarkan adalah daripada sukan akuatik terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.
"Sasaran itu adalah realistik berdasarkan beberapa faktor seperti penarikan diri pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dari menyertai Sukan Komanwel kali ini.
"Selain itu, kemalangan yang menimpa pemain skuasy negara, S Sivasangari juga menyebabkan sasaran pingat emas dalam acara beregu wanita terpaksa dikaji semula," kata Ahmad Faizal.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini menyasarkan tujuh emas menerusi badminton (dua emas) manakala gimrama, boling padang, angkat berat dan skuasy serta powerlifting masing-masing satu emas.
Bagaimanapun, sasaran pingat itu mahu dikaji semula susulan penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan atlet skuasy wanita negara, S Sivasangari yang tidak dapat beraksi kerana terbabit dalam kemalangan.
Kontinjen Malaysia diketuai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya akan dibarisi 105 atlet dan menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.