|
Wan Sukairi (kiri) merasmikan Himpunan Kontinjen Terengganu Menjelang 60 Hari Sukma di Kuala Nerus semalam.
Terengganu optimis kekal juara Sukma
KONTINJEN Terengganu berada di landasan tepat dalam misi mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung September depan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, lebih 500 atlet yang akan membawa cabaran kontinjen negeri kini berada pada fasa akhir latihan termasuk di luar negara.
Beliau berkata, meskipun kehilangan beberapa prospek emas susulan isu ratu pecut, Azreen Nabila Alias, kontinjen Terengganu kekal dengan sasaran 70 pingat emas melalui 28 disiplin sukan.
“Menjelang dua bulan sebelum temasya, saya yakin Terengganu mampu mengekalkan status selaku kuasa terbesar Sukma.
“Kami akan mengambil bahagian dalam semua 31 jenis sukan dipertandingkan kecuali sukan bola tampar, gimrama dan kriket. Sasaran 70 pingat emas juga kekal seperti diumumkan sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Himpunan Kontinjen Terengganu Menjelang 60 Hari Sukma di Kuala Nerus semalam.
Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd., Ab. Rasid Jusoh dan ADUN Wanita, Zuraida Md. Noor diumum sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Terengganu.
Wan Sukairi berkata, kontinjen Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor dijangka memberi saingan getir kepada Terengganu pada Sukma kali ini.
Wan Sukairi turut mengingatkan kesemua atlet yang membawa cabaran negeri itu agar tidak terpalit dengan isu doping yang boleh menjejaskan misi dan imej Terengganu.
“Pengurus, jurulatih dan atlet itu sendiri perlu lebih berhati-hati dengan pemilihan makanan tambahan atau vitamin yang dibimbangi mengandungi bahan terlarang.
“Pesanan ini bukan sahaja diberi buat atlet angkat berat malah semua jenis sukan harus peka dengan isu doping supaya tidak merugikan kontinjen negeri dan atlet,” tegas beliau.
https://www.kosmo.com.my/2022/07 ... -kekal-juara-sukma/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|