Seorang wanita di bandar raya Chicago, negeri Illinois ditembak mati oleh bekas suaminya selepas mendedahkan butiran perceraian mereka secara terbuka di laman TikTok, lapor akhbar Mirror UK, semalam.
Suspek, Raheel Ahmad tinggal di negeri Georgia, pergi ke rumah isterinya, Sania Khan di Near North Side pada Isnin lalu dengan niat membunuh selepas melihat video pendedahan tersebut sebelum membunuh diri.
Twitter/New Indian Express
Seorang pegawai memaklumkan Raheel dan Sania yang masing-masing berusia 29 tahun, sedang menjalani proses perceraian, namun dua rakan mangsa menyatakan kepada akhbar Chicago Sun Times bahawa perceraian mereka dimuktamadkan dua bulan lalu.
Anggota polis menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa berhampiran pintu kediaman dengan luka di belakang kepala dan darah kering pada wajahnya.
Laporan lain menyatakan bahawa polis menjumpai mayat Raheel di dalam bilik tidur kediaman mangsa dengan kesan tembakan di kepala, pistol di tangannya dan nota bunuh diri.
Menerusi video yang dimuat naik Sania di laman TikTok, dia secara terbuka berbicara soal perceraiannya dengan Raheel.
“Memang menyakitkan untuk meninggalkan seseorang yang pernah anda cintai. Tetapi lebih menyakitkan untuk mencintai seseorang yang tidak menjaga hati anda,” demikian kata Sania dalam video tersebut.
Rakan-rakan terdekat mangsa telah menubuhkan kutipan dana di laman web GoFundMe untuk membantu membiayai proses pengebumian Sania.
Sumber: Kosmo |