Itulah yang dialami seorang pemandu apabila kereta yang dipandunya diseret oleh sebuah lori yang hilang kawalan berhampiran Kampung Ulu Pulai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa, Wang Ah Fook, 66, yang sedang dalam perjalanan ke Johor Bahru hanya mengalami luka pada bahagian atas kening serta tangan kiri dan kanan.
Menurutnya, lori tersebut yang dipandu oleh Radin Sutrisno Radin Sudar Sono, 28, tiba-tiba hilang kawalan dan terbalik serta terseret ke bahu jalan kira-kira pukul 11.30 pagi.
Katanya, lori tersebut telah melanggar kereta yang dipandu Ah Fook dari arah Pontian ke Johor Bahru yang menyebabkan kereta terperosok di bawah kenderaan tersebut.
“Pemandu lori tersebut juga mengalami kecederaan ringan dan luka pada bahagian telinga kiri dan bengkak dahi,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambah Mohammasd Shofee, punca kemalangan disebabkan pemandu lori tersebut hilang kawalan dan melanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan kesesakan dari arah Johor Bahru ke Pontian. – UTUSAN