BAYAN LEPAS: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) turut mengalami gangguan bekalan elektrik sekitar jam 1 tengah hari tadi.
Seorang pekerja kedai serbaneka, Safinah Suhor, 34, berkata gangguan elektrik itu hanya berlaku kira-kira lima minit sebelum bekalan kembali pulih.
"Bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba dan kami tidak pula mendengar ada pengumuman atau menerima notis makluman mengenainya.
"Ketika itu peti sejuk dan perkakasan elektrik seperti ketuhar gelombang mikro tidak boleh digunakan dan mujurlah masalah itu berlaku sekejap sahaja," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, petugas kaunter teksi di LTAPP, Mohamad Azuan Ishak, 32, berkata bekalan elektrik di tempatnya bekerja hanya pulih selepas 30 minit.

Petugas kaunter teksi, Mohamad Azuan Ishak, 32, menunjukkan tiket bertulis tangan kerana gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, tengah hari tadi. - Foto NSTP/Mikail Ong
"Mungkin kerana punca sambungan elektrik kami tidak sama sebab saya lihat kaunter-kaunter di lapangan terbang kebanyakannya pulih dalam masa beberapa minit sahaja.
"Jadi, kami keluarkan tiket bertulis tangan namun kejadian itu tidak begitu mengganggu operasi kerana tiada penerbangan yang baru sampai," katanya.
Seorang pensyarah multimedia kolej swasta di Bayan Baru, Norisha Mohd Saad, 38, berkata bekalan elektrik di tempatnya mengajar terputus dua kali.
"Kali pertama elektrik terputus pada jam 11.10 minit selama kira-kira 20 minit sehingga saya terpaksa memberhentikan sesi pembelajaran di makmal komputer diikuti gangguan kedua pada jam 12.30 tengah hari," katanya.

LTAPP turut terjejas gangguan bekalan elektrik tengah hari tadi susulan kerosakan di pencawang utama TNB di Yong Peng. - Foto NSTP/Mikail Ong
Suri rumah, Zahara Hasyim, 42, berkata keadaan trafik di Sungai Tiram di sini menjadi bercelaru apabila lampu isyarat tidak berfungsi berikutan masalah gangguan elektrik yang berlaku kira-kira 15 minit.
"Semasa kejadian saya dalam perjalanan menjemput anak pulang dari sekolah jam 12.35 tengah hari dan jalan raya agak sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan termasuk van dan bas sekolah.
"Keadaan agak haru-biru ditambah dengan segelintir pemandu yang sukar bertolak ansur dan tidak mahu mengalah. Mujur tiada sebarang insiden buruk berlaku dalam tempoh berkenaan," katanya.